Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 19 OKTOBER 2026 : Kerjasama strategik pemain industri pelancongan menerusi PATA Malaysia Inter-State Tourism Networking Forum and Pahang Domestic Travel Mart 2026 diyakini mampu memperkukuh usaha mencapai sasaran 15.5 juta pelancong ke Pahang tahun ini, selaras aspirasi YAB Menteri Besar Pahang untuk menarik sehingga 17 juta pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man berkata, Pahang merekodkan peningkatan ketibaan pelancong yang bermalam kepada 8.8 juta bagi separuh pertama tahun ini berbanding 6.6 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Katanya, pencapaian itu memberi keyakinan kepada kerajaan negeri untuk mencapai sasaran ditetapkan, namun usaha berterusan perlu dipertingkatkan bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

“Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Tourism Pahang telah menyasarkan 15.5 juta pelancong.
“Setakat suku pertama dan kedua tahun ini, kita telah merekodkan ketibaan 8.8 juta pelancong yang bermalam, meningkat berbanding 6.6 juta bagi tempoh sama tahun lepas.
“Kita yakin dengan adanya dua suku lagi, kita dapat mencapai sasaran tersebut, namun kita masih perlu berusaha dengan lebih gigih kerana YAB Menteri Besar telah menetapkan sasaran 17 juta pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program berkenaan di AC Hotel Kuantan, di sini.

Menurutnya, kerjasama antara Tourism Pahang dengan PATA Malaysia Chapter menerusi program itu menjadi platform penting untuk memperluas jaringan perniagaan serta membuka peluang kerjasama baharu dalam kalangan pemain industri pelancongan dari Pahang dan negeri lain.
“Melalui program ini, kita dapat mengenali satu sama lain dan menjana hubungan perniagaan baharu.
“Kita berharap dapat mengembangkan peluang perniagaan serta peluang pelancongan di negeri masing-masing,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, jaringan kerjasama antara negeri turut penting bagi memastikan keunikan produk dan destinasi pelancongan masing-masing dapat dipromosikan secara bersama, khususnya menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dilanjutkan sehingga 2027.
“Kita berharap menerusi kempen ini, setiap negeri dapat bekerjasama erat sebagai rakan strategik untuk mempromosikan keunikan masing-masing,” katanya.
Program berkenaan menghimpunkan kira-kira 200 peserta terdiri daripada pemain industri pelancongan Pahang dan negeri-negeri lain bagi menggalakkan perkongsian maklumat, memperluas jaringan perniagaan serta memperkukuh kerjasama strategik dalam mempromosikan produk pelancongan masing-masing. – PAHANGMEDIA

