Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 24 OGOS 2026 : Piala Tengku Puteri Jihan diperkenalkan buat pertama kali tahun ini khusus bagi memberi pengiktirafan kepada penuntut Institut Kraf Negara (IKN) dan Institut Tenun Pahang Diraja (IKTPD) yang menyertai pertandingan Tenun Pahang Diraja.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, piala berkenaan diwujudkan bagi memastikan pelajar yang masih baharu dalam bidang tenunan tidak perlu bersaing secara langsung dengan peserta yang lebih berpengalaman.
“Pada tahun ini kita menerima banyak penyertaan daripada penuntut-penuntut IKN dan IKTPD yang memasuki pertandingan. Saya rasa tidak adil mereka disamakan dengan yang sudah lebih handal.
“Jadi, kita buat satu lagi piala yang berasingan daripada Piala Tengku Azizah, iaitu Piala Tengku Puteri Jihan,” titah baginda pada sidang media Temasya Warisan Pahang di Muzium Seni Kontemporari (MOCA), Kompleks Muzium Diraja Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Baginda bertitah, pemilihan nama Piala Tengku Puteri Jihan juga bertujuan menghargai segala sumbangan, bakat dan usaha yang dicurahkan dalam bidang warisan, selain menjadi dorongan kepada golongan muda.
“Saya nak anak saya satu piala untuk pelajar-pelajar, dinamakan dan diberi nama untuk semua kontribusi dia dan semua yang dia telah lakukan, untuk semua bakat yang dia ada juga,” titah baginda.
Baginda turut menegaskan kepentingan memberi kepercayaan kepada golongan muda untuk mengenali dan menghargai sejarah serta warisan mereka kerana generasi berkenaan merupakan masa depan negara.
“Ini adalah masa depan kita, untuk generasi depan memahami kepentingan menurunkan warisan kita ini daripada satu generasi ke satu generasi.
“Kalau tidak kerana tok nenek kita dulu menurunkan warisannya dari satu generasi ke yang lain, tidak mungkin kita dapat mempertahankan apa yang kita ada pada hari ini,” titah baginda.
Menurut baginda, usaha memperkenalkan warisan kepada generasi muda penting bagi memastikan khazanah negeri Pahang terus dapat dipelihara, dipertahankan dan diketengahkan bukan sahaja di Malaysia, malah ke seluruh dunia.
Pertandingan Tenun Pahang Diraja bagi merebut Piala Tunku Azizah bakal menjadi antara acara kemuncak Temasya Warisan Pahang 2026 yang berlangsung dari 29 Ogos hingga 7 September ini.
Majlis Jamuan Diraja dan Penyampaian Hadiah Piala Tunku Azizah dijadual berlangsung pada 5 September ini yang memberi tumpuan kepada usaha memperkasa seni tenunan tradisional Pahang sebagai warisan negeri.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang bertitah, pertandingan itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM151,000, selain piala dan sijil penyertaan kepada para pemenang.
Penganjuran Piala Tunku Azizah turut memperkukuh identiti Temasya Warisan Pahang sebagai platform menghimpunkan pelbagai khazanah seni dan budaya negeri, termasuk kraftangan, masakan tradisional dan persembahan kebudayaan. -PAHANGMEDIA

