Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 24 OGOS 2026 : Sebanyak 43 kes kesalahan membawa muatan berlebihan direkodkan dalam Ops Rentas Sempadan yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Pahang bersama JPJ Negeri Terengganu selama tiga hari, bermula 18 hingga 20 Ogos lalu.
Menurut kenyataan media oleh Pengarah JPJ Pahang, YBrs. Tuan Haji Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman, operasi yang dijalankan di sempadan daerah Kuantan dan Kemaman itu melibatkan pemerikasaan terhadap 316 kenderaan perdagangan.

“Sepanjang operasi tersebut, sebanyak 316 buah kenderaan telah diperiksa dan 112 buah kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 122 Notis Saman JPJ P(22) atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan, manakala 180 lain-lain notis turut dikeluarkan.
“Selain itu, 43 kes berkaitan kesalahan membawa muatan berlebihan telah direkodkan termasuk tiga buah kenderaan perdagangan telah ditahan untuk pemeriksaan lanjut, terdiri daripada dua buah lori jenis tipper / dumper yang membawa muatan batu serta sebuah lori treler kargo am bermuatan besi bar.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua kenderaan berkenaan membawa muatan melebihi 50 peratus daripada had muatan yang dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata kesemua kenderaan terbabit disita di bawah Seksyen 80(1), Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 untuk tindakan lanjut termasuk lucut hak.
Beliau turut menegaskan pihak JPJ Pahang akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan bagi membendung kesalahan membawa muatan berlebihan yang boleh menjejaskan kestabilan kenderaan, mempercepatkan kerosakan jalan raya dan meningkatkan risiko keselamatan pengguna jalan raya.
Beliau dalam kenyataan berkenaan turut menyeru pengusaha serta pemilik kenderaan perdagangan supaya mematuhi had muatan yang ditetapkan demi keselamatan semua pengguna jalan raya. -PAHANGMEDIA

