Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
ROMPIN, 24 OGOS 2026 : “Rasa bangga apabila orang besar (kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang) datang ke rumah,” ujar Encik Shamsuddin Sayid, 55, ketika menerima kunjungan pimpinan Kerajaan Negeri Pahang menerusi Program Ziarah Makmur sempena Program Sentuhan Rakyat Makmur (PSRM) di Daerah Rompin, hari ini.
Menurut beliau, kunjungan tersebut amat bermakna buat keluarganya, terutama dalam memberi perhatian terhadap keadaan ibunya, Puan Maimunah Husin, 89, yang terlantar di katil sejak kira-kira sembilan tahun lalu selepas terjatuh ketika menunaikan solat Isyak.
“Ini merupakan kali kedua kami menerima bantuan. Sebelum ini ada juga sumbangan lain, tetapi kali ini daripada Dato’ Sri Nazri Abu Bakar (Setiausaha Kerajaan Pahang). Terima kasih banyak-banyak.
“Saya bagi pihak keluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang dan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, yang sentiasa memberi perhatian dan sumbangan kepada mak saya. Tidak lupa juga kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang,” katanya.

Sementara itu, Encik Zainal Abas, 61, menzahirkan rasa syukur dan gembira atas keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang serta agensi berkaitan yang sudi menziarahi dan melihat sendiri keadaan ibunya, Puan Zainon Aris, 82, yang menghidap penyakit kencing manis.
“Rasa senang hati ini sampai tak tahu nak cakap macam mana. Saya sangat bersyukur menerima bantuan ini. Terima kasih banyak kepada Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.

Dalam pada itu, Puan Hafidah, 33, turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas bantuan yang disampaikan oleh Kerajaan Negeri Pahang, yang disifatkannya sebagai satu bentuk keprihatinan terhadap kebajikan rakyat yang memerlukan.
“Alhamdulillah, bantuan yang diberikan ini menunjukkan kebajikan rakyat sentiasa dijaga. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Program Ziarah Makmur sempena Program Sentuhan Rakyat Makmur (PSRM) yang diketuai YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, diteruskan kali ini di Daerah Rompin, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman. -PAHANGMEDIA

