Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
PEKAN, 21 OGOS 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus memperkukuh agenda pendidikan menerusi pelaksanaan Program Himpunan Pelajar Cemerlang (HiPeC) dan Perhalus SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) 2026 melibatkan pelajar sekolah di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata program di bawah Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang Kluster Pendidikan itu memberi tumpuan kepada dua kelompok pelajar, iaitu HiPeC bagi pelajar cemerlang dan Perhalus bagi pelajar yang dikenal pasti berpotensi untuk mencapai kelulusan SPM.
Beliau berkata, pelaksanaan program berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan ilmu, malah bertujuan meningkatkan semangat serta keyakinan pelajar dalam menghadapi peperiksaan besar mereka.
“Program ini supaya anak-anak yang kita bawa ini akan menimba ilmu, mendapat semangat, dan of course kita mengharapkan mereka mendapat kejayaan cemerlang dalam SPM.

“Program seumpama ini juga dapat memperkasakan lagilah pendidikan, dan golongan pelajar di negeri Pahang,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Himpunan Pelajar Cemerlang (HiPeC) dan Perhalus SPM 2026 bagi Daerah Pekan di DRB- Hicom University of Automotive (DHU) hari ini.
Beliau berkata, usaha memperkukuh bidang pendidikan turut disokong menerusi penyediaan buku rujukan oleh Kerajaan Negeri Pahang, yang antara lain dapat membantu menyumbang kepada pencapaian akademik negeri.
“Selain buku-buku rujukan yang diberikan oleh kerajaan, kita juga mahu anak-anak ini mendapat bimbingan dan dorongan supaya mereka dapat mencapai kejayaan yang lebih tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang yang berakhir tahun ini dapat diteruskan bagi tempoh lima tahun akan datang di mana pelaksanaan dasar berkenaan turut merangkumi pelbagai kluster termasuk pendidikan, wanita, keusahawanan dan undang-undang.

“Untuk tahun depan, kita cuba mohon supaya Kerajaan Negeri meluluskan dasar ini untuk lima tahun yang akan datang. Semoga dengan dasar ini kita dapat memperkasakan pelajar-pelajar dan anak-anak kita untuk berjaya diperingkat lebih tinggi,” katanya.
Menurutnya, walaupun dasar berkenaan membawa nama Wanita Pahang, namun pelaksanaannya tidak terhad kepada golongan wanita atau pelajar perempuan sahaja, sebaliknya turut memberi manfaat kepada golongan lelaki.
“Walaupun nama dia Dasar Pelan Tindakan Wanita Pahang, kita buat juga untuk golongan lelaki. Pelajar yang kita bawa hari ini pun kita tidak memilih pelajar perempuan sahaja,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha memperkasakan pendidikan perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan lebih ramai anak Pahang berpeluang mencapai kecemerlangan dan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Beliau turut melahirkan harapan agar Program HiPeC dan Perhalus SPM 2026 ini menjadi pemangkin kepada peningkatan pencapaian akademik serta melahirkan generasi muda yang berilmu, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada negeri serta negara. -PAHANGMEDIA

