Oleh : Syafiqah Jamaluddin
SELANGOR, 21 OGOS 2026 : Kontinjen e-sukan Pahang akhirnya memecah kebuntuan selepas dua edisi tanpa pingat apabila meraih pingat gangsa menerusi acara Honor of Kings (HOK), sekali gus menjadi pingat pertama yang dibawa pulang kontinjen negeri itu dalam Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.
Pengurus E-sukan Pahang, Mohd Izhar Adnan berkata, kejayaan itu menjadi pencapaian penting buat skuad negeri berkenaan yang sebelum ini gagal membawa pulang sebarang pingat dalam dua edisi terdahulu.
Menurutnya, pencapaian tersebut turut menyuntik keyakinan kepada skuad Pahang untuk memburu sekurang-kurangnya dua lagi pingat, termasuk emas menerusi acara e-Football.
“Ini merupakan tahun ketiga e-sukan dipertandingkan untuk Pahang. Tahun pertama dan kedua kita tidak membawa pulang pingat, tetapi tahun ini alhamdulillah kita dapat pingat pertama dalam acara HOK.
“Insya-Allah kita sedang mengintai peluang untuk mendapatkan pingat dalam acara lain dan sasaran kita semestinya emas bagi e-Football,” katanya.

Katanya, peningkatan prestasi skuad Pahang turut didorong perubahan pendekatan dalam aspek pembangunan atlet, termasuk membawa jurulatih yang membimbing pemain sejak peringkat awal persiapan.
Jelasnya, pendekatan itu membolehkan atlet beraksi dengan lebih selesa kerana mereka sudah memahami corak latihan serta strategi yang diterapkan oleh jurulatih masing-masing.
“Kalau sebelum ini jurulatih daripada kelab tidak dibawa bersama ke SUKMA, kali ini jurulatih yang melatih mereka dari awal turut dibawa bersama dalam barisan pengurusan.
“Jadi mereka sudah biasa dengan jurulatih masing-masing dan kita dapat memperkemaskan kekuatan sedia ada tanpa mengubah perkara yang mereka sudah biasa lakukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata saingan e-sukan pada SUKMA XXII turut menyaksikan pertambahan beberapa judul permainan baharu seperti Street Fighter, e-Chess, E-Simulator Racing: Sprint Race dan HOK, selain acara e-Football serta Mobile Legends.
Beliau optimis pendekatan pembangunan yang lebih tersusun mampu melahirkan lebih ramai bakat baharu e-sukan Pahang yang bersedia untuk bersaing di peringkat lebih tinggi. -PAHANGMEDIA

