Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
SELANGOR, 16 OGOS 2026 :Kontinjen Pahang terus mencipta kejayaan apabila meraih pingat emas ketiga pada hari ini menerusi atlet taekwondo, Putera Arsyad Danish Danish Afrizan dalam kategori kyorugi bawah 68 kilogram (kg) pada temasya SUKMA XXI 2026.
Putera Arsyad, yang membuat penampilan kali kedua mewakili Pahang di pentas SUKMA, mempertahankan kejuaraan pada SUKMA Selangor selepas menewaskan wakil Sarawak 2-0 pada aksi final di Ideal Convention Centre (IDCC), di sini, hari ini.

Kemenangan itu hadir selepas atlet kelahiran Kuantan berkenaan terlebih dahulu menundukkan wakil Wilayah Persekutuan dengan keputusan sama 2-0 pada aksi separuh akhir, sekali gus melayakkannya ke pusingan akhir.
Bagi Putera Arsyad, kejayaan mempertahankan emas untuk penampilan keduanya di SUKMA cukup bermakna, apatah lagi selepas perjalanan panjang dalam sukan taekwondo yang bermula secara tidak sengaja.

“Happy lah, sebab dapat emas kali kedua, untuk kali ni. Ha, dua kali (wakil Pahang untuk SUKMA),” katanya ketika ditemui selepas pertandingan.
Menurutnya, kejayaan tersebut didedikasikan kepada keluarga, jurulatih serta semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang kariernya.
“Actually (Sebenarnya), coach (jurulatih), family (keluarga), supporter (penyokong) semua, terima kasihlah sebab dah support (sokong). Lagi-lagi coach. Sebab coach daripada saya kosong, tak ada apa, coach yang bawa saya daripada pasar malam sampai ke podium SUKMA, dua kali,” katanya.

Dalam pada itu, Putera Arsyad turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang atas sokongan dan kemudahan yang diberikan kepada atlet kontinjen negeri.
“Terima kasih kerana Kerajaan Negeri Pahang, sebab banyak dah sponsor baju, jaket, kasut, beg… semua barang bagus sekarang,” ujarnya.
Mengulas perancangan selepas ini, Danish berkata beliau akan memberi tumpuan kepada kejohanan akan datang, khususnya Sukan Universiti ASEAN (AUG) dan Sukan SEA.
Kejayaan Danish sekali gus menyumbang emas ketiga buat kontinjen Pahang pada hari ini, selain mengukuhkan momentum Elephant Warriors dalam usaha memburu lebih banyak kejayaan pada SUKMA 2026.
Pingat emas berkenaan disampaikan oleh Pengarah Majlis Sukan Pahang, Encik Mahadir Abdul Raffar.-PAHANGMEDIA

