Oleh : Syafiqah Jamaluddin
KUALA LUMPUR, 17 OGOS 2026 : Tangisan, kesakitan dan semangat juang menjadi penguat buat atlet angkat berat wanita Pahang, Nur Dania Nasyiha Abdullah, untuk menghadiahkan pingat gangsa dalam acara 48 kilogram pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, hari ini.
Bertanding di Dewan Seri Cempaka MPKJ, atlet berusia 16 tahun itu merekodkan angkatan keseluruhan 130 kilogram untuk menduduki tempat ketiga, di belakang Perak yang meraih emas dengan 154 kilogram dan Terengganu dengan 144 kilogram.
Walaupun berjaya menaiki podium, Nur Dania mengakui kejayaan itu hadir bersama kesakitan dan sedikit rasa kecewa selepas beberapa angkatan yang dilakukannya tidak mencapai tahap yang diharapkan.
“Perasaan saya gembira tapi sakit sikitlah. Sedih dan kecewa sikit pun ada juga sebab awal-awal tadi sebenarnya saya dah kalah,” katanya.
Menurut Nur Dania, kejayaan tersebut merupakan hasil persiapan lebih dua tahun, termasuk menjalani latihan di Rompin dalam usaha memperkukuhkan fizikal dan mental sebelum menghadapi cabaran di pentas SUKMA.
Katanya, perjalanan menuju SUKMA bukan mudah apabila beliau turut berdepan kesakitan dan kecederaan sehingga memerlukan rawatan.
“Yang pertama saya dua kali dah jatuh. Yang kedua sekali saja jatuh. Memang ada rasa sakit,” katanya.
Beliau berkata, kesakitan pada bahagian pinggang dan skapula turut dirasai ketika pertandingan, namun keadaan itu tidak menghalangnya daripada meneruskan perjuangan sehingga berjaya menamatkan saingan di tempat ketiga.
Lebih menyentuh hati, Nur Dania mengakui pernah berada pada tahap mahu meninggalkan sukan angkat berat selepas berdepan tekanan dan kesakitan sepanjang tempoh persiapan.
“Saya hari-hari menangis. Saya cakap, masa ini saya tak nak main, saya nak berhenti. Tapi mak saya cakap, sabarlah sikit lagi,” katanya.
Kata-kata ibunya menjadi antara sumber kekuatan buat atlet muda itu untuk terus bertahan sehingga akhirnya berjaya membawa pulang pingat gangsa buat kontinjen Pahang.
Dalam pada itu, Nur Dania turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih yang sentiasa memberikan sokongan, termasuk membawanya mendapatkan rawatan ketika mengalami kecederaan.
“Untuk coach saya, terima kasih sebab sentiasa dengan saya. Dialah yang bawa saya pergi hospital,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada keluarganya yang sentiasa memberikan sokongan dan membantu sepanjang tempoh persiapan sehingga ke pentas SUKMA.
Bagi Nur Dania, pingat gangsa yang diraih hari ini menjadi pembakar semangat untuk terus memperbaiki prestasi, terutama dalam aspek angkatan yang masih belum memuaskannya.
“Saya belum puas hati lagi. Yang snatch itu saya belum puas hati lagi,” katanya. -PAHANGMEDIA

