Oleh: Norhafizan Zulkifli
SELANGOR, 16 OGOS 2026 : Kontinjen Pahang akhirnya ‘pecah telur’ apabila pasangan atlet pencak silat, Nur Haizatul Farhanis Norashid dan Nurhaizatul Fazira Norashid, menghadiahkan pingat emas pertama buat Pahang dalam SUKMA Selangor 2026, hari ini.
Pasangan berkenaan muncul juara dalam acara Silat Seni Ganda Puteri selepas menampilkan persembahan bertenaga dan kemas pada aksi final di Dewan Sri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), di sini, pagi tadi.
Pahang mencatat 9.9100 mata, mengatasi wakil Wilayah Persekutuan yang meraih 9.8950 mata, sekali gus mengesahkan emas pertama kontinjen Pahang pada temasya kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, sumbangan emas sulung terbabit diharap menjadi pencetus kepada kebangkitan kepada atlet-atlet yang lain.
“Alhamdulillah, syukur, saya sangat gembira pagi ini kerana Pahang dapat emas pertama melalui Farhanis dan Fazira bagi kategori Ganda Puteri menewaskan Wilayah Persekutuan.
“Jadi syukur sangat-sangat. Emas pertama yang ducari-cari. Saya tengok aksi mereka memang kemas, sangat kemas. Syukur Alhamdulillah, tahniah silat daripada Pahang sumbang emas pertama.
“Kita harap lepas ini menjadi pencetus kebangkitan kepada atlet-atlet bagi sukan lain,” katanya ketika hadir menyaksikan perlawanan berkenaan, pagi tadi.
Dalam pada itu, pencak silat turut menyumbang dua pingat gangsa kepada kontinjen Pahang pada malam semalam.
Muhammad Nizam Shahizan meraih gangsa dalam acara Silat Seni Solo Kreatif Putera selepas tewas kepada wakil Sabah menerusi keputusan seri 9.8900 mata pada peringkat separuh akhir.
Gandingan Luqman Haris Ahmad Khaizrin, Mohammad Syamizie Abdullah dan Muhammad Nizam Shahizan pula menambah satu lagi gangsa dalam acara Silat Seni Regu Putera selepas tewas kepada Johor dengan keputusan 9.8900 mata berbanding 9.9350 mata.-PAHANGMEDIA

