Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 15 OGOS 2026 : Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terus dilihat sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi serta penyumbang penting kepada hasil Negeri Pahang, sekali gus menyokong kedudukan Pahang sebagai antara negeri yang mencatat prestasi hasil negeri yang kukuh.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam berkata, peranan golongan usahawan tidak boleh dipisahkan daripada usaha Kerajaan Negeri dalam memperkukuh ekonomi Pahang, khususnya menerusi pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan bagi membantu sektor PMKS berkembang lebih kukuh.

“Di Kerajaan Negeri Pahang, kita setiasa komited untuk membantu PMKS ataupun SME dan rentetan baru-baru ini, Kerajaan Negeri telah pun melaksanakan kepelbagaian program, inisiatif-inisiatif di bawah Kerajaan Negeri untuk membantu antara kluster SME ini untuk dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis SME Malaysia Platinum Business Awards (PBA) 2026 Roadshow Kuantan di The Zenith Hotel Kuantan, di sini hari ini.
Menurut beliau, kekuatan sektor perniagaan turut dapat dilihat menerusi pencapaian hasil Negeri Pahang yang mencecah RM1.17 bilion pada tahun 2025, selain kutipan hasil bagi tahun ini yang telah menghampiri RM800 juta setakat Ogos.

“Antara berita yang saya terima, dimaklumkan oleh YAB Dato’ Sri Diraja selaku Menteri Kewangan Negeri, setakat Ogos ini, kerajaan ini telah pun mencapai hampir RM800 juta untuk hasil,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata hubungan erat antara Kerajaan Negeri dan golongan usahawan amat penting bagi memastikan sektor perniagaan terus berkembang dan memberi manfaat kepada ekonomi negeri.
“Saya yakin bahawa inilah salah satu platform untuk kita menyampaikan mesej daripada Kerajaan Negeri untuk kita bersama. Usahawan dan juga Kerajaan Negeri tidak boleh berpisah.
“Kerana mereka adalah salah satu penyumbang ekonomi negeri dan pemacu ekonomi negeri yang menyumbang peratusan yang tinggi,” katanya.
Beliau turut menyentuh perkembangan positif ekonomi Pahang yang menunjukkan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri daripada RM68 bilion pada 2024 kepada RM71 bilion pada 2025, sekali gus mencerminkan potensi ekonomi negeri yang semakin berkembang.
Pada masa sama, beliau menyifatkan penganjuran Platinum Business Awards 2026 sebagai satu platform penting bukan sahaja dalam memberi pengiktirafan kepada kecemerlangan dunia perniagaan, malah membuka ruang kepada usahawan mendapatkan maklumat, berkongsi pandangan serta membina jaringan dengan pelbagai pihak.
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur kerana menyediakan satu platform yang bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada kecemerlangan dunia perniagaan, tetapi turut membuka ruang kepada para usahawan untuk mendapatkan maklumat, berkongsi pandangan dan membina jaringan dengan pelbagai pihak,” katanya. -PAHANGMEDIA

