KUANTAN, 15 OGOS 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pengurniaan Sayap Penerbangan di Padang Kawad Kolej Tentera Udara, Alor Setar, Kedah, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda pada jam 9.33 disambut Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Setibanya Paduka Baginda di Padang Kawad, Ketua Pegawai Perbarisan mempersembahkan laporan sebelum Paduka Baginda berkenan melakukan pemeriksaan perbarisan dengan menaiki kenderaan istiadat.
Istiadat kemudiannya diteruskan dengan perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan masa cepat, diikuti perbarisan mara mengadap sebelum berlangsungnya acara kemuncak, iaitu pengurniaan Sayap Penerbangan kepada Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang.

Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Sayap Penerbangan kepada 21 graduan yang menamatkan latihan penerbangan, selain menyempurnakan pengurniaan beberapa anugerah kecemerlangan kepada graduan.
Antara anugerah yang dikurniakan ialah Anugerah Graduan Akademik Terbaik, Graduan Terbaik Keseluruhan Jurusensor Senjata Pejuang, Anugerah Graduan Terbaik Sayap Putar, Anugerah Graduan Terbaik Sayap Kaku, Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan Sayap Putar dan Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku.

Istiadat turut diserikan dengan persembahan ucapan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM sebelum laungan ‘Daulat Tuanku’ dan bacaan doa oleh Pegawai Agama Kanan Kolej Tentera Udara.
Selesai istiadat perbarisan, Paduka Baginda berkenan berangkat ke Dewan AeroAngkasa bagi menyaksikan tayangan montaj Kursus Asas Penerbangan Helikopter.

Istiadat berkenaan mencerminkan kejayaan serta pencapaian para graduan dalam menamatkan latihan penerbangan, selain menjadi detik bermakna buat Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang dalam menerima Sayap Penerbangan sebagai pengiktirafan terhadap kecekapan dan kemahiran yang telah dicapai sepanjang mengikuti Kursus Asas Penerbangan Helikopter.– PAHANGMEDIA
Kredit KESULTANAN PAHANG

