Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 15 OGOS 2026: Seramai 150 peserta dari dalam dan luar negara menyertai Program Pahang International Green Eye Squid Hunting 2026, sekali gus mencerminkan potensi Pahang sebagai destinasi pelancongan berasaskan rekreasi marin.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man, program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan peserta dari dalam dan luar negara.

“Untuk penyertaan tahun ini kita ada 15 peserta dari Korea, Jepun dan Brunei manakala kita ada 135 peserta domestik dan dari Labuan.
“Untuk tahun ini, saya difahamkan pihak Tourism Pahang menerima permintaan daripada peserta lain yang berminat untuk menyertai program ini, namun tidak dapat berbuat demikian disebabkan kekurangan bot walaupun kita telah mendapatkan bot dari Kemaman dan kawasan sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis pelepasan peserta Pahang International Green Eye Squid Hunting 2026 di Jeti Shahbandar, hari ini.
Tambahnya, program tersebut bertujuan menarik lebih ramai pengunjung ke Kuantan, khususnya ke kawasan Jeti Syahbandar, selain meningkatkan kesedaran bahawa Pahang turut menawarkan aktiviti mencanting sotong sebagai salah satu tarikan pelancongan.

“Program ini juga bertujuan untuk menarik lebih ramai pengunjung ke Kuantan, khususnya di sekitar Jeti Syahbandar, selain itu ianya untuk meningkatkan kesedaran bahawa sebenarnya di Pahang juga menawarkan aktiviti mencanting sotong.
“…. dan berbanding dengan negeri lain, kelebihan aktiviti ini adalah ia tidak terhad kepada waktu malam sahaja, sebaliknya di Pahang ia boleh dijalankan pada waktu siang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan Kerajaan Negeri Pahang akan terus menyokong usaha dalam memperkasa acara berasaskan pelancongan, sukan dan rekreasi kepada pengunjung.
“Kerajaan Negeri Pahang akan terus menyokong usaha memperkasa acara-acara berasaskan pelancongan, sukan dan rekreasi yang bukan sahaja menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung, malah mampu memberi limpahan ekonomi kepada komuniti serta pemain industri pelancongan setempat.
“Ini selari dengan aspirasi ‘Pahang First’ dalam menjadikan Pahang sebagai antara destinasi pilihan utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya. -PAHANGMEDIA

