Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 15 OGOS 2026 : Penubuhan Koperasi Kariah Masjid Imam Ash Shafie Kotasas Berhad (CO-MIASK) dilihat mampu menjadi penanda aras kepada penubuhan koperasi kariah masjid lain di negeri ini dalam usaha memperkukuh ekonomi ummah.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam berkata, penubuhan CO-MIASK selari dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memperkasakan masyarakat menerusi pembangunan ekonomi berasaskan komuniti.

“Pertama, saya nak ucapkan tahniah dan syabas kepada CO-MIASK. Dengan tertubuhnya koperasi ini, ia memang sangat signifikan kepada Kerajaan Negeri bahawa kita nak memajukan ummah melalui ekonomi.
“Di bawah kepimpinan Lembaga Pengarah koperasi CO-MIASK ini, mereka telahpun melaksanakan penubuhannya dengan jaya dan ini menandakan sebagai penanda aras kepada koperasi-koperasi penubuhan baharu di masjid yang lain,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Perasmian CO-MIASK di Masjid Imam Ash Shafie Kotasas, di sini hari ini.

Menurut beliau, projek-projek perintis yang dilaksanakan CO-MIASK bergantung kepada kepakaran serta keupayaan pengurusan koperasi dalam menentukan bidang perniagaan yang bersesuaian.
Beliau berkata, pihak koperasi juga boleh mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Institut Koperasi Malaysia (IKMa) serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi memastikan setiap perniagaan yang diceburi mempunyai asas pengurusan dan perancangan yang kukuh.
“Dalam projek perintis ini, ia bergantung kepada pengurusan koperasi masing-masing dan kepakaran mereka. Mungkin perkara ini telah diangkat oleh pihak Lembaga Koperasi untuk berbincang bersama ahli.
“Kebergantungan ini juga mungkin mendapat nasihat daripada pihak IKMa dan juga SKM bahawa perniagaan ini bergantung kepada kepakaran masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kerajaan Negeri turut memberikan sokongan melalui penyediaan geran sebanyak RM5,000 bagi membantu menggalakkan serta memberi suntikan semangat kepada pihak pengurusan CO-MIASK untuk mengembangkan koperasi berkenaan.
“Alhamdulillah, tadi saya mewakili YAB Dato’ Sri Diraja Menteri Besar kita pun telah meluluskan geran. Geran ini adalah untuk memberikan semangat kepada Lembaga Pengarah.
“Walaupun tidak banyak, tetapi ia menunjukkan ingatan daripada pihak Kerajaan Negeri,” katanya.
CO-MIASK yang membawa visi menjadi koperasi kariah terunggul dalam memperkasa ekonomi ummah berteraskan nilai Islam dan tadbir urus cemerlang turut memberi tumpuan kepada peningkatan kesejahteraan anggota dan komuniti, pembangunan perniagaan berdaya maju serta penyediaan peluang pekerjaan dan latihan kemahiran.
Antara projek perintis yang dilaksanakan ialah D’MIASK Car Wash, MIASK One Stop Centre yang menawarkan perkhidmatan percetakan dan alat tulis, stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) serta mesin layan diri (vending machine).
Dengan moto ‘Berkhidmat, Berkat, Berjaya’, penubuhan CO-MIASK diharap dapat menjadi contoh bagaimana institusi masjid boleh memainkan peranan lebih luas dalam memperkasa ekonomi masyarakat setempat secara tersusun, berdaya maju dan berteraskan nilai Islam. -PAHANGMEDIA

