Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Farizul Hafiz Awang
JERANTUT, 15 OGOS 2026 : Karnival Aspirasi Pahang 1st menjadi platform Kerajaan Negeri Pahang untuk turun padang mendekati rakyat secara lebih santai dan terbuka, selain menyampaikan pelbagai manfaat menerusi program pembangunan, pendidikan serta bantuan kepada golongan berpendapatan rendah.
Karnival Aspirasi Pahang 1st Tahun 2026 Peringkat Daerah Jerantut yang berlangsung selama tiga hari di Padang Hoki Jerantut itu dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, dan merupakan penganjuran pertama bagi tahun ini.

Menurut beliau, pendekatan turun padang seperti itu penting kerana ia membolehkan kerajaan berinteraksi secara langsung dengan rakyat tanpa perlu menunggu majlis rasmi yang bersifat terlalu formal.
“Sebab kerajaan boleh turun padang, jumpa rakyat secara dekat dan rakyat pula boleh jumpa kerajaan. Tak perlu tunggu ada majlis rasmi yang terlalu serius. Kita boleh bersembang, bertanya, sampaikan pandangan dan, kalau ada masalah, boleh terus disampaikan kepada pihak yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan selari dengan hasrat Aspirasi Pahang 1st yang bukan sekadar menjadi slogan atau program, sebaliknya memberi ruang kepada rakyat untuk melihat, merasai dan menikmati manfaat secara langsung.
“Bukan sekadar slogan atau program, tetapi sesuatu yang rakyat boleh nampak, boleh rasa dan boleh dapat manfaat,” katanya ketika merasmikan Karnival Aspirasi Pahang 1st Tahun 2026 Peringkat Daerah Jerantut di Padang Hoki Jerantut, malam tadi.

Jerantut Merdeka Run 2026 turut mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 500 peserta bagi kategori 5 kilometer Fun Run, manakala kira-kira 4,000 peserta menyertai kategori 3 kilometer Briskwalk, sekali gus mewujudkan suasana meriah dan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Dalam pada itu, bersempena Bulan Kebangsaan, beliau turut mengajak rakyat Pahang terus menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan memelihara perpaduan dan keharmonian yang menjadi asas kepada kemakmuran negeri.

“Saya selalu sebut, perpaduan adalah nadi kepada kemakmuran Pahang. Kalau kita bersatu, kita boleh buat banyak perkara. Kalau kita berpecah, perkara yang mudah pun boleh jadi susah,” katanya.
Dalam usaha memperkasa generasi muda, beliau turut melancarkan Pahang STEM Competition 2026 dengan peruntukan RM500,000 menerusi kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Pahang Skills bagi mencungkil bakat anak-anak Pahang dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Kita mahu anak-anak Pahang ini jangan hanya jadi pengguna teknologi. Kalau boleh, kita mahu mereka jadi pencipta teknologi,” katanya sambil berharap program itu dapat melahirkan lebih ramai bakat baharu yang mampu mengharumkan nama Pahang di pentas antarabangsa.
Turut dilancarkan ialah Inisiatif Makmur Pahang Kluster B40: Pemberian Lesen Percuma kepada Penjaja B40 Sedia Ada dengan peruntukan RM3 juta yang melibatkan 5,906 penerima, masing-masing menerima bantuan sebanyak RM200 sebagai usaha meringankan beban golongan penjaja dan peniaga kecil untuk meneruskan kelangsungan perniagaan serta menyara keluarga. -PAHANGMEDIA

