Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 OGOS 2026 : Impian melanjutkan pengajian ke luar negara membawa makna besar buat anak-anak Pahang, khususnya mereka yang melihat peluang tersebut sebagai ruang untuk membina masa depan keluarga dan kembali berbakti kepada negeri.
Bagi pelajar Kolej Yayasan Pahang (KYP), Putra Haikal Nurrul Fauzan, 20, dari Jengka, peluang melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang Syariah Islamiah bukan sekadar mengejar cita-cita, malah satu amanah sebagai anak sulung dalam keluarga.

Katanya, sebagai anak sulung, beliau mahu memanfaatkan peluang berkenaan untuk mengubah masa depan keluarganya walaupun menyedari perjalanan menuntut ilmu di luar negara bukan sesuatu yang mudah.
“Perasaan saya tu rasa macam, dia sebenarnya berat kot sebenarnya tapi sebagai yang sulung, saya kena ambil tanggungjawab tu untuk mengubah masa depan keluarga saya. Saya tahu keluarga saya tak seberapa mana cuma itulah harapan saya untuk keluarga. Saya kena ubah,” katanya.
Putra Haikal turut menyatakan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Kerajaan Negeri atas sokongan serta semangat yang diberikan kepada pelajar yang bakal menyambung pengajian di Timur Tengah.
“Terima kasih Tok Wan kerana memberi semangat kepada anak-anak pelajar. Ini amat membantulah untuk kami semua pelajar-pelajar baru yang akan menyambung pengajian ke Timur Tengah.
“Harapan saya, semoga saya dapat membanggakan kedua ibu bapa saya dan menjadi masyarakat yang berguna akan datang,” katanya.
Sementara itu, pelajar KYP yang akan melanjutkan pengajian dalam bidang Perbankan Islam di Yarmouk University, Jordan, Khairul Danies Mohd Khairul Anuar, 20, berkata bantuan yang diterima sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan sepanjang berada di luar negara.

“Perasaan saya di majlis ini saya sangat gembira lah. Dan saya sangat bersyukur kerana lahir di Negeri Pahang. Kerana adanya Kerajaan Pahang yang sangat baik hati, yang sudi memberi sumbangan untuk kami berada dekat sana,” katanya.
Bagi Khairul Danies, beliau turut menitipkan pesanan kepada pelajar Pahang lain yang mempunyai impian untuk melanjutkan pengajian ke luar negara supaya tidak terlalu bimbang mengenai kesukaran yang bakal dihadapi.
“Anda jangan risau kerana Kerajaan Pahang sudi membantu. Jadi jangan fikir susah, jangan fikir susah,” katanya.
Seterusnya, bagi Fatimah Azzahraa’ Mohd Sabri, bantuan USD1,000 yang diterima pula memberi kegembiraan kerana dapat membantu membuat persiapan sebelum berangkat ke Yarmouk, Jordan bagi mengikuti pengajian Perbankan Islam.

“Hari ini saya mendapat USD1,000 daripada Menteri Besar Pahang untuk menyambung pengajian ke Yarmouk Jordan. Saya nak cakap terima kasih banyak-banyak kepada Tok Wan kerana dah bagi bantuan ini dan sedikit sebanyak dapat membantu persediaan saya untuk ke sana,” katanya.
Ketiga-tiga pelajar berkenaan merupakan antara anak Pahang yang bakal membawa nama negeri ke luar negara, dengan harapan peluang pendidikan yang diterima dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk mencapai kejayaan dan kembali menyumbang kepada keluarga serta masyarakat. -PAHANGMEDIA

