Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 10 OGOS 2026 : Kerajaan Pahang meluluskan peruntukan hampir RM100,000 bagi melaksanakan kajian menyeluruh terhadap sistem perkhidmatan bas di Bandaraya Kuantan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kajian berkenaan dijalankan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
Beliau berkata, ia turut melibatkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan laluan, kekerapan dan kemudahan perkhidmatan bas benar-benar memenuhi keperluan rakyat serta mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Kita mahu pastikan bas yang disediakan memenuhi kehendak rakyat, bukan sekadar ada perkhidmatan tetapi bas datang tanpa penumpang. Itu merupakan satu pembaziran.
“Kita juga mahu melihat jalinan ‘connectivity’ perkhidmatan bas dalam bandar. Katalah, dari Kampung Kempadang hendak ke stesen ECRL, adakah penduduk boleh menggunakan BasMy untuk ke ECRL di KotaSAS.
“Jadi, antara perkara yang saya titik beratkan di kawasan bandaraya ini adalah perkhidmatan yang boleh membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas serta kemudahan infrastruktur seperti pondok bas,” katanya.
Beliau berkata, aspek infrastruktur seperti pondok bas turut diberi perhatian bagi memastikan keselesaan pengguna khususnya pelajar dan orang awam.
“Kita tidak mahu lagi melihat tempat menunggu bas hanya ada papan tanda atau bendera. Negara kita mempunyai cuaca panas dan hujan yang tidak menentu, jadi pondok bas adalah satu kemestian,” katanya.
Tambah beliau, sistem pengangkutan awam yang lebih cekap juga penting dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian sekali gus mengurangkan kesesakan dan pelepasan karbon.
Beliau berkata, pemantauan terhadap pelaksanaan kajian dan penambahbaikan perkhidmatan akan dilakukan secara berkala bagi memastikan cadangan yang dikemukakan benar-benar memberi impak kepada pengguna.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan Menteri Besar Pahang atas kelulusan peruntukan berkenaan yang disifatkan sebagai langkah penting ke arah mewujudkan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, mesra rakyat serta menyokong aspirasi bandar raya hijau dan rendah karbon. – PAHANGMEDIA

