Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 10 OGOS 2026 : Pahang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama negara apabila berjaya merangkul sembilan anugerah pada Malam Anugerah Industri Pelancongan 2026 yang dianjurkan oleh Malaysia International Tourism Development Association (MiTDA).
Kerajaan Negeri Pahang melalui Tourism Pahang menerima anugerah utama Kadar Purata Penginapan Tertinggi Terbaik di Malaysia, sekali gus membuktikan prestasi cemerlang sektor pelancongan negeri ini serta keyakinan berterusan pelancong terhadap pelbagai produk dan destinasi pelancongan yang ditawarkan di Pahang.

Selain itu, pemain industri pelancongan Negeri Pahang turut berjaya merangkul lapan anugerah lain, dengan Majlis Bandaraya Kuantan menerima tiga anugerah bagi kategori Inisiatif Pembangunan Pelancongan Terbaik, Destinasi Rekreasi Terbaik dan Program Pelancongan Lestari.
Manakala East Coast Mall Kuantan menerima anugerah Pusat Membeli-belah Terbaik Kuantan dan LoVita Hotel Kuantan dinobatkan sebagai Hotel Bajet Terbaik Kuantan.
Pada majlis yang sama, Resorts World Genting menerima pengiktirafan sebagai Destinasi Peranginan Bersepadu Terbaik, manakala SkyAvenue turut meraih dua anugerah bagi kategori Destinasi Tanah Tinggi Terbaik dan Destinasi Percutian Keluarga Terbaik.
Menurut Pengurus Besar Tourism Pahang, Puan Nor Zahira Muhammad Azmi, pengiktirafan tersebut bukan sahaja menjadi penghormatan kepada Negeri Pahang, malah turut menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh usaha pembangunan dan promosi sektor pelancongan negeri.
“Pengiktirafan ini bukan sekadar satu penghormatan kepada Negeri Pahang, malah menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh usaha pembangunan dan promosi pelancongan.
“Tourism Pahang akan terus bekerjasama dengan semua pihak dalam memperkasa produk pelancongan negeri serta meningkatkan daya saing Pahang sebagai destinasi pelancongan pilihan di Malaysia dan di peringkat antarabangsa,” katanya. -PAHANGMEDIA

