Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 10 OGOS 2026 : Kerajaan Negeri Pahang sedang merangka pendekatan komprehensif bagi mengurangkan risiko kejadian pokok tumbang di seluruh negeri, termasuk melibatkan pemeriksaan oleh pakar pokok atau arboris.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata ini memandangkan pokok besar dan berusia khususnya di kawasan bandar perlu diperiksa secara berkala bagi menilai tahap kesihatan, kestabilan dan risiko pokok sebelum tindakan seperti pemangkasan, rawatan atau penebangan dibuat.
“Pokok-pokok besar di tengah-tengah bandar kita ni kadang-kadang memerlukan perkhidmatan daripada pakar-pakar pokok untuk melihatkan tapi bila pokok dah tua, memerlukan satu rawatan secara berkala rawatan secara berkala, pemeriksaan kesihatan secara berkala. Dia pun memerlukan medical check up juga.
“Kalau kita nak pelihara pokok-pokok yang dah tua, bernilai tinggi, dalam bandar ni untuk kita tengok sebagaimana yang ada di Pekan, di Bandar Raya, pokok-pokok tersebut perlu mendapat pengesahan dari pihak yang bertauliah.
“Maknanya perlu disuntik, perlu dibaja, perlu dipangkas ataupun dia mesti mendapat laporan yang terperinci tentang kedudukan pokok yang perlu kita pelihara,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Perhutanan, PERHILITAN serta agensi berkaitan susulan kejadian pokok tumbang di Janda Baik baru-baru ini.
“Kita tidak perlu menyalahkan mana-mana pihak, tetapi perlu mencari penyelesaian yang proaktif supaya kejadian seperti ini dapat dikurangkan,” katanya.
Tambah beliau, dalam masa sama, Kerajaan Negeri turut meneliti pewujudan zon penampan di kawasan jalan yang melalui hutan simpan bagi mengurangkan risiko pokok tumbang dan memasuki laluan.
“Sebagai contohnya, ada kawasan-kawasan tertentu seperti apa yang berlaku di kawasan Janda Baik adalah melibatkan kawasan hutan simpan. Dan ada juga di kawasan dalam bandar Pahang ni di mana di mana jalannya itu melalui hutan-hutan simpan, dia bukan melalui jalan biasa-biasa seperti ini.
“Tapi di kawasan luar bandar seperti di Jerantut ada kawasan jalan yang dibina jalan Persekutuan ke, jalan negeri ke yang melalui hutan simpan. Sudah tentu kita memerlukan zon penampan yang sebaiknya supaya apabila pokok tumbang, dia tidak melalui tengah-tengah jalan macam tu,” katanya. -PAHANGMEDIA

