Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
RAUB, 10 OGOS 2026: Kerajaan Pahang menyasarkan lebih banyak daerah di negeri ini diiktiraf sebagai bandar bahagia pada tahun-tahun akan datang, sekali gus menjadikan Pahang sebagai contoh negeri yang berjaya mengurus kepelbagaian masyarakat dalam suasana harmoni dan bersatu padu.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sasaran itu dibuat susulan pencapaian dua daerah di negeri ini yang diiktiraf sebagai bandar bahagia tahun ini.

Menurutnya, selain Raub, Lipis turut tersenarai sebagai bandar bahagia, malah daerah berkenaan berada dalam kelompok 10 bandar paling bahagia di Malaysia.
“Saya berharap pada tahun 2026 ini kita akan meningkat daripada dua bandar bahagia kepada lebih daripada dua. Insya-Allah, daerah-daerah lain akan menyusul kemudian.
“Dan kalau boleh, kita mahu negeri Pahang ini menjadi contoh kepada kepelbagaian, bukan sebagai punca perpecahan, sebaliknya sebagai kekuatan untuk kita bergerak bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Pahang dan Walk A Town With Me Pahang 1st Raub di Dataran Raub, di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam; serta barisan ketua jabatan dan pimpinan setempat.
Beliau turut berkata, pengiktirafan bandar bahagia bukan sekadar pencapaian untuk dibanggakan, sebaliknya mencerminkan wajah rakyat Pahang yang hidup dalam suasana saling menghormati, membantu dan mempercayai antara satu sama lain.
“Ini bukan sekadar satu pencapaian, ini adalah cerminan wajah rakyat Pahang yang selama ini hidup dalam suasana saling menghormati, saling membantu dan saling mempercayai. Kejayaan ini bukan untuk kita banggakan, sebaliknya satu amanah untuk kita pertahankan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pencapaian Pahang menduduki tempat pertama dalam Indeks Perpaduan Nasional 2025 menggambarkan tahap keharmonian masyarakat di negeri ini yang dinilai berdasarkan pelbagai aspek termasuk hubungan antara kaum, perkembangan masyarakat dan laporan berkaitan pertelingkahan kaum.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Negeri terus melaksanakan agenda pembangunan menerusi Aspirasi Pahang 1st bagi memastikan pertumbuhan ekonomi, peningkatan pelaburan, peluang pekerjaan dan pendidikan terus diperkasakan.
“Kita mahu ekonomi berkembang, pelaburan bertambah, peluang pekerjaan diwujudkan dan pendidikan anak-anak terus diperkasakan. Pada masa yang sama, kebajikan golongan yang memerlukan terus dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
“Kadar pengangguran di Negeri Pahang pada tahun 2025 ialah 2.2 peratus dan berjaya dikurangkan kepada 1.7 peratus.
“Daripada 18,000 orang kepada 14,000 orang penganggur di negeri ini, kita berjaya mengurangkannya. Insya-Allah, kita akan terus berusaha mengurangkan lagi kadar pengangguran di negeri Pahang,” ujarnya.
Beliau turut menyeru rakyat Pahang supaya bersama-sama mempertahankan keharmonian dan perpaduan, selain menghayati semangat patriotisme sempena Bulan Kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang serta membuktikan kecintaan kepada negara menerusi kejujuran, integriti dan sikap saling menghormati. -PAHANGMEDIA

