Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
RAUB, 10 OGOS 2026 : Lebih 10,000 orang membanjiri Dataran Raub malam tadi bagi memeriahkan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Pahang serta program Walk A Town With Me Pahang 1st Maju Terus Pahang Daerah Raub.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, sambutan luar biasa itu membuktikan program yang dianjurkan di luar Kuantan turut mendapat sambutan hebat daripada rakyat.

Menurutnya, kehadiran bukan sahaja membabitkan penduduk Raub, malah turut disertai rakyat dari Bentong, Lipis, Jerantut dan Temerloh yang mengambil kesempatan menyertai program berkenaan.
“Yang sertai brisk walk (jalan pantas), 5,000 peserta. Penyertaan dan baju telah habis diedarkan. Namun, kita lihat masih ramai yang hadir tanpa memakai baju program. Jadi, saya tidak dapat anggarkan jumlah sebenar, tetapi boleh dikatakan lebih 10,000,” katanya ketika ditemui media selepas program tersebut di sini semalam.
Beliau berkata, penganjuran program di daerah-daerah luar Kuantan merupakan pendekatan Kerajaan Negeri bagi memastikan rakyat di seluruh Pahang dapat merasai sendiri kemeriahan program berskala besar selain memperoleh maklumat secara langsung mengenai inisiatif Kerajaan Negeri.

Katanya lagi, pengisian Bulan Kebangsaan turut menjadi platform untuk menyemarakkan semangat cintakan tanah air dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat melalui pengibaran Jalur Gemilang di premis kerajaan, swasta, kediaman serta kawasan bandar dan kampung.
Dalam pada itu, beliau berkata sambutan menggalakkan terhadap program sukan dan rekreasi yang dianjurkan Kerajaan Negeri menunjukkan aktiviti berkenaan kini menjadi pilihan rakyat untuk meluangkan masa bersama keluarga tanpa memerlukan kos yang tinggi.

“Kalau kita tengok program hari ini, seperti di Stadium Darul Makmur misalnya, program sukan mendapat sambutan yang begitu ramai kerana mungkin sekarang orang berkira-kira untuk keluar dari Negeri Pahang.
“Jadi, program-program sebegini adalah platform kepada rakyat, khususnya yang berkeluarga, untuk berjimat kerana tidak memerlukan kos yang tinggi, hadir program di sini sambil membawa keluarga.
“Sebab itu saya lihat ramai yang membawa anak-anak… dan pada masa sama kita dapat menyuntik semangat nasionalisme dan kemerdekaan dalam jiwa mereka. Inilah mesej Kerajaan Negeri melalui pelaksanaan program ini,” katanya.

Perkembangan tersebut, katanya, selari dengan titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah supaya sukan lasak dan aktiviti rekreasi terus dipopularkan khususnya dalam kalangan golongan muda.

“Seperti aktiviti sukan dan rekreasi yang kita laksanakan, termasuk hiking (mendaki). Program mendaki 11 puncak itu juga mendapat sambutan yang ramai. Untuk pendakian Gunung Irau di Cameron Highlands bulan depan sempena memuliakan Hari Keputeraan Tuanku, permintaan juga sangat tinggi.
“Kita minta dua orang wakil setiap jabatan, tetapi mereka mahu menghantar lebih ramai. Jadi, saya lihat sambutan ketika ini amat luar biasa dan saya amat gembira dengan perkembangan ini,” ujarnya. – PAHANGMEDIA

