Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 08 OGOS 2026 : Kutipan hasil Kerajaan Negeri Pahang mencatatkan pencapaian memberangsangkan apabila mencecah RM850 juta setakat Julai.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian tersebut adalah lebih tinggi berbanding kebiasaan kutipan pada bulan Julai yang lazimnya sekitar RM700 juta.
“Ini satu pencapaian yang sangat memberangsangkan kerana lazimnya pada bulan Julai kita tidak mencapai angka RM800 juta, sebaliknya sekitar RM700 juta atau sedikit lebih.
“Pertama, saya mendapati mungkin terdapat peningkatan kesedaran dalam kalangan pembayar cukai untuk membuat bayaran mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Kedua, mungkin juga disebabkan pelanjutan tempoh pembayaran yang sepatutnya berakhir pada 30 Jun telah dilanjutkan sehingga akhir Julai, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk menjelaskan bayaran,” katanya.
Menurut beliau, berdasarkan trend kutipan semasa, sasaran hasil negeri berkemungkinan dapat dicapai lebih awal, namun ia bergantung kepada prestasi kutipan pada bulan-bulan akan datang.
“Saya sangat optimis, insya-Allah Kerajaan Negeri akan memperoleh hasil melebihi RM1 bilion seperti yang dicapai dalam tempoh empat tahun lalu,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pembayar cukai serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) dan Pejabat Daerah yang bersungguh-sungguh menguruskan kutipan hasil serta mengesan pihak yang masih mempunyai tunggakan.
Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM1.279 bilion bagi tahun 2026, iaitu peningkatan kira-kira tujuh peratus berbanding tahun 2025. –PAHANGMEDIA

