Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
BENTONG, 08 OGOS 2026 : Penyertaan bagi Program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-ramai) terus menunjukkan perkembangan positif apabila lebih 70 pasangan menyertai program berkenaan sepanjang tahun ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, peningkatan penyertaan kali ini membuktikan program berkenaan semakin diterima serta mendapat sambutan daripada rakyat.
Beliau berkata, program tersebut turut diperluaskan dengan penglibatan anggota tentera pada tahun ini, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak golongan untuk menikmati manfaat serta diraikan menerusi Anggun Suri.

“Bagi penyertaan tahun ini, kita perluaskan lagi kepada anggota tentera. Kita baru sahaja mengadakan mesyuarat kali pertama bagi memperkemaskan pelaksanaannya. Kemungkinan satu lagi mesyuarat akan diadakan sebelum program bermula pada bulan November ini.
“Semua peserta daripada kalangan anggota tentera bersama keluarga akan hadir sebagai tetamu, iaitu mereka tidak terlibat dalam persiapan tempat kerana semua urusan akan dikendalikan oleh Unit Pembangunan Wanita Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-ramai) Tahun 2026 Parlimen Bentong, sekali gus menjadi wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Majlis Perbandaran Bentong, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.
Tambahnya, pelaksanaan program berkenaan juga memperlihatkan peningkatan dari segi pengurusan serta kerjasama antara pihak penganjur dan peserta.
“Alhamdulillah, peningkatan dari aspek pengurusan yang amat baik hasil kerjasama Unit Pembangunan Wanita Negeri Pahang dan agensi lain membuktikan program ini berjalan lancar.
“Insya-Allah, sekiranya ada rezeki, kita akan melaksanakannya dengan lebih baik berbanding tahun sebelumnya,” katanya. -PAHANGMEDIA

