Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 06 OGOS 2026 : Tempoh persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15 yang dijadual berlangsung pada 27 Ogos ini akan dilanjutkan daripada setengah hari kepada sehari bagi memberi lebih ruang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil bahagian dalam sesi perbahasan dan mengemukakan pertanyaan.
Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang, YB Tuan Lee Chin Chen berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan setiap ADUN mempunyai peluang yang lebih mencukupi untuk menyuarakan pandangan serta membahaskan isu-isu berkepentingan rakyat secara lebih menyeluruh.
“Biasanya sidang dewan ini kita adakan adalah setengah hari tapi oleh kerana kita nak bagi ruang lebih untuk adun-adun untuk buat pertanyaan jadi kita panjangkan, lanjutkan dari setengah hari hingga satu hari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Lawatan Teknikal Sidang Dewan Negeri Pahang di Dewan Negeri Pahang, Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, lawatan teknikal berkenaan merupakan persiapan rutin yang diadakan sebelum setiap persidangan Dewan Negeri bagi memastikan kelancaran perjalanan sidang.
“Melalui lawatan dan mesyuarat ini, semua ketua jabatan serta wakil jabatan diberi taklimat mengenai peranan dan tanggungjawab masing-masing sebelum serta sepanjang persidangan berlangsung.
“Persiapan awal ini penting supaya setiap urusan berkaitan sidang dapat diselaraskan dengan baik dan berjalan lancar,” katanya.
Beliau turut berharap penambahan tempoh persidangan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua ADUN untuk menyampaikan pandangan yang matang, konstruktif dan berhemah demi kepentingan pembangunan negeri.
“Saya harap semua adun boleh ambil kesempatan untuk ambil bahagian bahas dan juga memberi pandangan yang matang, yang bijaksana dalam sidang dewan ini, katanya”. -PAHANGMEDIA

