Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 OGOS 2026 : Kerajaan Negeri Pahang akan menyegerakan tindakan bagi mengatasi masalah kerosakan pembentung, hakisan tebing jalan utama serta sistem saliran di Kampung Sungai Karang Pantai.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, tindakan tersebut diambil susulan aduan penduduk mengenai keadaan longkang dan pembentung yang semakin uzur sehingga menjadi punca banjir serta mengancam keselamatan setempat.

Katanya, hasil penelitian bersama Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang (JKR), Unit Pembangunan Luar Bandar (PLB) dan Pejabat Pembangunan Negeri Pahang (SDO), kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan secara berfasa dengan memberi keutamaan kepada pembaikan hakisan tebing jalan yang dikenal pasti sebagai punca utama masalah di kawasan berkenaan.
“Setelah diteliti bersama JKR, PLB dan SDO, kita bercadang melaksanakan kerja pembaikan dalam dua fasa. Fasa pertama akan memberi tumpuan kepada pembaikan hakisan tebing jalan, tertakluk kepada kelulusan peruntukan yang dianggarkan sebanyak RM200,000.

“Kita juga akan memohon kerjasama JKR melalui MARRIS (Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia) bagi menaik taraf pembentung supaya lebih sesuai serta menaik taraf sistem longkang sepanjang kira-kira 500 meter,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan tapak ke lokasi kerosakan pembentung, hakisan tebing jalan utama dan laluan saliran di Kampung Sungai Karang Pantai, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelaksanaan projek berkenaan memerlukan kerjasama pemilik tanah yang terlibat memandangkan sebahagian laluan saliran baharu akan melalui tanah persendirian.

“Saya difahamkan oleh ketua kampung bahawa pemilik-pemilik tanah telah bersetuju memberi laluan, namun kita memerlukan kertas kerja rasmi sebagai pengesahan untuk rujukan agensi seperti JKR dan juga Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pahang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri akan berusaha mendapatkan kelulusan peruntukan dengan kadar segera memandangkan isu tersebut melibatkan keselamatan awam.
“Saya yakin Kerajaan Negeri Pahang akan mempertimbangkan perkara ini sebaiknya kerana ia boleh membahayakan terutama kanak-kanak dan warga emas jika terjatuh ke dalam lubang. Buat masa ini, kita meminta pihak JKR mengambil langkah sementara dengan memasang pita amaran di kawasan terlibat,” katanya. -PAHANGMEDIA

