Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 06 OGOS 2026 : Kerajaan Negeri Pahang telah membuat permohonan kepada Kementerian Komunikasi bagi mempercepatkan penyediaan infrastruktur serta struktur komunikasi 5G di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata ini memandangkan liputan 5G di negeri ini dan kawasan Pantai Timur dilihat agak terkebelakang berbanding negeri lain.
“Berkenaan dengan infrastruktur atau struktur komunikasi 5G di Negeri Pahang ini dan di Pantai Timur sebenarnya, dia agak terbelakang. Jadi kita belum dapat catch up lagi negeri-negeri lain. Di Pantai Timur agak ketinggalan dari segi penyediaan struktur komunikasi 5G di kawasan-kawasan berpenduduk.

“Dan bila saya tengok taburannya, saya jumpa U Mobile baru-baru ini, dia tidak seimbang. Jadi saya nyatakan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan Yang Amat Berhormat Menteri Besar minta saya perjuangkan isu ini.
“Dan dalam pertemuan dengan U Mobile ini, saya dah sebutkanlah beberapa daerah yang kurang. Contohnya Raub, Lipis, Jerantut, Maran, Bera, Rompin supaya ditambah bilangannya sebab kita nak pembangunan seimbang di Negeri Pahang ini,” katanya.
Beliau berkata liputan 5G ini amat diperlukan bagi membawa pelaburan dan pembangunan masuk ke negeri ini melalui keseimbangan liputan di seluruh Pahang.

“Jadi pelabur itu sendiri tengok elemen-elemen ini sebelum dia orang nak menanam modal di satu-satu daerah di Negeri Pahang tu dia tengok. Dia nak kembangkan perniagaan dia, ada tak infra? Jadi penting wujud keseimbangan di seluruh Negeri Pahang dan daerah-daerah yang disebutkan tadi perlu menikmati kemudahan komunikasi 5G ini.
“Dan perkara ini saya dah sebut kepada MCMC, saya dah sebut kepada U Mobile, saya dah sebut kepada Menteri Komunikasi untuk segera kita nak catch up negeri-negeri lain. Jangan Pahang ketinggalan. Sebabnya, kalau kita tak ada infrastruktur 5G yang baik ini, kadang-kadang bila federal nak buat keputusan Bandar AI misalnya, Smart City program yang dapat geran besar daripada kerajaan, Pahang tak disenaraikan.
“Jadi satu kerugian kepada Pahang. Mungkin disebabkan kita belum equip sepenuhnya dengan kemudahan komunikasi lengkap ini, jadi kita tertinggal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kempen Pencegahan Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi Peringkat Negeri Pahang 2026 di UCYP Tanjung Lumpur. -PAHANGMEDIA

