Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 06 OGOS 2026 : Kerajaan Negeri Pahang menyeru seluruh rakyat di negeri ini untuk mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, premis perniagaan, pejabat dan lokasi yang bersesuaian sepanjang Bulan Kebangsaan sebagai tanda menyemarakkan semangat patriotisme serta kecintaan kepada negara.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, kempen tersebut dimulakan menerusi program edaran Jalur Gemilang kepada orang ramai yang menyertai Stadium Run Culture di Stadium Darul Makmur, malam tadi.
Beliau berkata, program berkenaan menjadi platform permulaan bagi mengajak masyarakat, khususnya golongan belia, bersama-sama menghayati erti kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan Ogos.
“Hari ini kita mengambil kesempatan menggunakan program Stadium Run Culture yang diadakan setiap hari Rabu di Stadium Darul Makmur untuk mengedarkan Jalur Gemilang kepada orang ramai. Kita mahu mengajak mereka sama-sama mengingati bahawa ini adalah Bulan Kemerdekaan dan mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan ini.
“Ini hanyalah permulaan. Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Pahang akan diteruskan menerusi program yang lebih besar pada 9 Ogos ini di Raub.
“Kita berharap rakyat negeri ini dapat bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, premis perniagaan, pejabat dan mana-mana lokasi yang bersesuaian, khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat edaran Jalur Gemilang kepada orang ramai sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 Peringkat Negeri Pahang di Stadium Darul Makmur.
Kempen berkenaan merupakan sebahagian usaha Kerajaan Negeri dalam menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan 2026, sekali gus memupuk semangat perpaduan, patriotisme dan penghargaan terhadap perjuangan kemerdekaan dalam kalangan rakyat Pahang. -PAHANGMEDIA

