Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Iman Andrew
KUANTAN, 05 OGOS 2026 : Pengalaman menjaga ahli keluarga yang menghidap penyakit Spinocerebellar Ataxia (SCA) selama 23 tahun bukanlah satu perjalanan yang mudah, namun seorang waris, Muhammad Ashrol Rani, 31, tetap tabah menggalas tanggungjawab tersebut demi insan tersayang.
Menurutnya, penyakit genetik yang diwarisi dalam keluarganya itu menyerang otak dan sistem saraf secara berperingkat sehingga menyebabkan pesakit kehilangan keupayaan untuk bergerak serta akhirnya terlantar.
“Empat peringkat penyakit ini, pertama kita akan nampak pesakit mula hilang keseimbangan ketika berjalan. Bila kita tanya mereka, mereka rasa macam biasa dan tak sedar keadaan itu.
“Peringkat kedua, kepala dan tangan mula menggeletar. Peringkat ketiga mereka perlu menggunakan kerusi roda dan peringkat terakhir pesakit akan terlantar sepenuhnya sebelum keadaan kesihatan semakin merosot,” katanya ketika ditemui di kediamannya setelah menerima cek sumbangan oleh Kerajaan Negeri Pahang yang disampaikan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal.

Beliau berkata, berdasarkan sejarah keluarga, penyakit tersebut diwarisi melalui keturunan dan menyerang bahagian otak sebelum merebak ke sistem saraf sehingga menyebabkan koordinasi badan semakin lemah.
“Penyakit ini menyerang otak sehingga menyebabkan otak mengecut. Sebab itu pesakit hilang keseimbangan, badan menggeletar dan lama-kelamaan ingatan juga semakin terjejas.
Dalam keluarganya, tiga ahli keluarga kini menghidap penyakit tersebut iaitu Suriani Rani, 41, Abdul Halim Rani, 30, dan Nur Hafizah Abdul Rahman, 27.
Muhammad Ashrol turut menyatakan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang atas keprihatinan yang diberikan kepada keluarganya serta pesakit-pesakit SCA.
“Saya nak ucapkan banyak-banyak terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan kepada keluarga saya dan juga kepada pesakit-pesakit SCA. Bantuan ini amat bermakna dan sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami,” katanya. -PAHANGMEDIA

