Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 OGOS 2026 : Mangsa kebakaran rumah dari Taman Seri Keramat, Maran, antara penerima yang melahirkan rasa syukur dan terharu selepas menerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri Pahang bagi meringankan beban yang ditanggung.
Puan Maziyah Ngah, 65, berkata rumahnya musnah dalam kebakaran yang berlaku pada 28 April lalu sehingga mengakibatkan semua harta benda tidak dapat diselamatkan.
Menurutnya, selepas kejadian tersebut, beliau kini menumpang di rumah anaknya di Balok sementara menunggu bantuan untuk membina semula kediamannya.
“Rumah makcik habis terbakar pada 28 April lalu. Sekarang makcik menumpang di rumah anak di Balok. Kami juga telah memohon pelbagai bentuk bantuan daripada Kerajaan Negeri Pahang.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang atas bantuan yang diberikan ini. Saya sangat terharu dan berharap bantuan untuk pembinaan rumah dapat disegerakan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang di Majlis Bandaraya Kuantan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Kelab Rekreasi dan Kebajikan Hospital Bentong, Nur Hazmiza, 40, turut merakamkan penghargaan atas sumbangan kewangan yang diterima bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti kebajikan dan rekreasi melibatkan warga hospital.
Beliau berkata, permohonan sumbangan yang dikemukakan pada Februari lalu menerima maklum balas dalam tempoh yang singkat, sekali gus membolehkan kelab merancang pelbagai program untuk manfaat ahlinya.
“Kami memohon sumbangan ini pada Februari 2026 dan tidak mengambil masa lama untuk diluluskan.
“Kami mewakili kelab ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dato’ Sri atas kesudian membantu menjayakan aktiviti kelab rekreasi dan kebajikan hospital yang melibatkan kira-kira 500 kakitangan Hospital Bentong bagi setiap program serta kebajikan ahli,” katanya.
Sumbangan yang disampaikan itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam membantu rakyat, pertubuhan serta badan bukan kerajaan (NGO) melalui pelbagai bentuk bantuan bagi meringankan beban dan menyokong pelaksanaan aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat. -PAHANGMEDIA

