Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 01 OGOS 2026 : “Keberanian bukan diukur pada derasnya kelajuan sebuah motosikal, tetapi pada kekuatan menundukkan hawa nafsu dan keberanian berkata tidak kepada kemungkaran,” titah Sultan Pahang.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan rasa dukacita apabila masih ada anak muda yang memilih jalan raya sebagai penanda kemasyhuran, keberanian, dan kebanggaan.
“Generasi muda ialah permata negeri dan pewaris kepada masa depan bangsa. Mereka bukan sekadar penyambung warisan, bahkan penentu jatub bangunnya sesebuah tamadun. Jika baik akhlaknya, maka kukuhlah negara. Jika rosak adabnya, maka runtuhlah maruah bangsa.
“Namun beta amat berdukacita apabila melihat masih wujud segelintir anak muda yang memilih jalan raya sebagai pentas mencari kemasyhuran, menjadikan deruman enjin sebagai lambang keberanian, dan menganggap perlumbaan haram sebagai kebanggaan.
“Lebih mendukacitakan apabila budaya tidak bermoral ini diraikan di media sosial. Aksi yang membahayakan dipertontonkan untuk meraih pujian dan perhatian, sedangkan hakikatnya tepukan yang diterima hari ini sering kali berakhir dengan tangisan ibu bapa, penyesalan yang tiada penghujung dan pusara yang sunyi,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah bahawa anak muda yang sejati bukanlah mereka yang gagah mencabar maut tetapi mereka yang berani membina masa depan dengan ilmu, akhlak, disiplin, dan usaha berterusan.
Baginda turut menegaskan penguatkuasaan undang-undang perlu diperkasakan secara lebih tegas dan menyeluruh, di samping diperkukuh melalui pendidikan, institusi kekeluargaan yang utuh serta sokongan masyarakat bagi memastikan generasi muda tidak terus hanyut dengan budaya yang mengundang padah.
Dalam pada itu, baginda menzahirkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan semua agensi penguat kuasa atas komitmen membanteras gejala mat rempit dan perlumbaan haram. -PAHANGMEDIA

