Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 01 OGOS 2026 : Koperasi Serba Usaha Makmur Berhad (KOSMA) mencipta sejarah apabila mengumumkan pembayaran dividen modal syer pada kadar 60 peratus, iaitu yang tertinggi sejak penubuhannya pada 1967.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meluluskan pembayaran dividen berjumlah RM36.32 juta kepada 1,469 anggota yang layak bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

“Sukacita saya mengumumkan bahawa SKM telah meluluskan pembayaran dividen modal syer KOSMA pada kadar 60 peratus, melibatkan jumlah pembayaran dividen sebanyak RM36.32 juta kepada seramai 1,469 orang anggota yang layak.
“Kadar dividen modal syer sebanyak 60 peratus ini merupakan kadar dividen tertinggi yang pernah dicapai dalam sejarah KOSMA sejak penubuhannya pada tahun 1967. Petang ni dah masuk dah. Kita bayar secara online. Kita bayar hari ni,” katanya.
Beliau berkata, kadar dividen ini membuktikan kedudukan kewangan koperasi yang kukuh serta keupayaannya menjana keuntungan secara mampan untuk manfaat anggota.

“Bagi tahun kewangan 2025, KOSMA berjaya merekodkan pendapatan keseluruhan berjumlah RM334.24 juta, iaitu meningkat sebanyak RM43.46 juta berbanding pada tahun sebelumnya iaitu RM290.78 juta yang dicatatkan pada tahun 2024.
“Saya juga ingin menyatakan keuntungan bersih juga turut meningkat kepada RM102.30 juta berbanding RM84.02 juta pada tahun sebelumnya, iaitu pertumbuhan sebanyak RM18.28 juta.
“Prestasi cemerlang ini mencerminkan pengukuhan tadbir urus, kecekapan pengurusan serta kejayaan strategi perniagaan yang dilaksanakan oleh KOSMA dalam mengembangkan aktiviti ekonominya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pengumuman Dividen Modal Syer KOSMA Bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2025 di Hotel Zentih.
Dalam perkembangan sama, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, kecemerlangan KOSMA turut diiktiraf di peringkat nasional apabila disenaraikan sebagai koperasi keenam terbaik di Malaysia dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2026 yang diumumkan sempena Sambutan Hari Koperasi Negara 2026.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa menyokong pembangunan koperasi sebagai antara pemacu penting pertumbuhan ekonomi negeri, sambil menyifatkan KOSMA sebagai contoh terbaik sebuah koperasi yang berjaya mengimbangi prestasi perniagaan dengan kebajikan anggotanya. -PAHANGMEDIA

