Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 31 JULAI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menyeru seluruh rakyat negeri ini supaya sentiasa berpegang teguh kepada ajaran Islam dengan menolak budaya fitnah, memperkukuh perpaduan serta membangunkan ekonomi ummah demi memastikan kemakmuran negeri dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.
Paduka Baginda bertitah, perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan manipulasi digital pada masa kini menjadikan penyebaran fitnah semakin sukar dibendung sehingga masyarakat berdepan cabaran membezakan antara fakta dan rekaan.
“Saya menyeru agar rakyat Negeri Pahang menjadi masyarakat yang tidak mudah melatah, tidak cepat menghukum dan tidak menjadi penyambung kepada berita yang belum pasti. Janganlah tangan kita menjadi penyebar fitnah, sedangkan mulut kita mengaku mencintai agama,” titah baginda.
Baginda turut menyeru umat Islam agar menghentikan perselisihan yang tidak membawa manfaat kerana sejarah membuktikan sesuatu bangsa lebih mudah lemah akibat perpecahan dalam kalangan mereka sendiri.
“Janganlah kita terlalu ghairah mempertahankan kelompok sehingga lupa mempertahankan agama. Janganlah kita terlalu sibuk mencari kesalahan saudara sendiri sehingga terlupa membina kekuatan bersama.

“Jangan kerana berbeza warna bendera, kita memutuskan silaturahim. Jangan kerana berbeza pandangan, kita menggadaikan perpaduan.
“Sesungguhnya, pembinaan sesebuah masjid bukan sekadar mendirikan sebuah bangunan yang indah dipandang mata, tetapi membangunkan sebuah pusat penyatuan hati, medan penyuburan ilmu, tempat memperkukuhkan akidah,” titah baginda.
Paduka Baginda dalam titah turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu serta memelihara semangat saling menghormati yang menjadi asas keamanan negara.
Menyentuh peranan institusi masjid sebagai pemangkin pembangunan ummah, baginda bertitah umat Islam tidak boleh terus berpuas hati dengan pencapaian sederhana, sebaliknya perlu menguasai ilmu, teknologi dan kemahiran bagi membina kekuatan ekonomi yang mampan.
“Jadilah usahawan yang amanah, petani yang produktif, penternak yang inovatif, peniaga yang jujur, profesional yang berintegriti dan pemimpin yang menjadikan keberkatan mengatasi keuntungan semata-mata,” titah baginda.

Paduka Baginda bertitah demikian pada Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat serta Perasmian Masjid Baharu Kampung Desa Murni sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang semalam.
Pada majlis sama, Paduka Baginda turut merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh warga Kampung Desa Murni atas kejayaan dinobatkan sebagai Johan Anugerah Aspirasi Desa Peringkat Kebangsaan 2026 selain memenangi Anugerah Desa Mampan dan Anugerah Profiling Komuniti Desa yang membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM150,000.
Baginda menyifatkan kejayaan itu membuktikan bahawa perpaduan dan kerjasama masyarakat mampu membawa sesebuah komuniti mencapai kecemerlangan serta menjadi inspirasi kepada kampung-kampung lain di negeri ini.
Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang turut berkenan memasyhurkan masjid baharu berkenaan dengan nama Masjid Al-Taqwa, Kampung Desa Murni, dan menzahirkan harapan masjid berkenaan menjadi mercu keimanan yang melahirkan generasi berilmu, beriman, berintegriti dan mampu memimpin agama, bangsa serta negara pada masa hadapan.
Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir, paduka anakanda putera dan puteri; YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. -PAHANGMEDIA

