KUANTAN, 29 JULAI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan pandangan agar hukuman khidmat masyarakat diperkasakan sebagai salah satu bentuk hukuman alternatif yang bersesuaian bagi kesalahan jenayah syariah di negeri ini.
Paduka Baginda bertitah, pelaksanaan hukuman tidak seharusnya dilihat sebagai suatu bentuk pembalasan semata-mata, sebaliknya menjadi instrumen untuk membina keinsafan, memperbaiki akhlak serta memulihkan pesalah agar kembali menghayati nilai-nilai Islam dan berperanan sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab.
Menurut Paduka Baginda, pembangunan perundangan syariah kini menuntut pendekatan yang lebih progresif dan berorientasikan pemulihan selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Pendekatan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah memperkukuh fungsi sistem keadilan syariah sebagai wadah mendidik, membimbing dan memulihkan,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut berharap perbincangan berhubung pelaksanaan hukuman alternatif itu dapat menghasilkan keputusan yang tuntas, praktikal dan berpandangan jauh demi memperkukuh pentadbiran keadilan syariah di Negeri Pahang.
Titah tersebut dizahirkan ketika Paduka Baginda berkenan bercemar duli mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang Kali Ke-199 di Kuantan.
Turut berangkat ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama ialah Timbalan Yang Dipertua MUIP, YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar serta Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dato’ Haji Ahmad Hairi Bin Hussain.
Dalam perkembangan sama, Paduka Baginda merakamkan ucapan tahniah kepada Majlis Kesultanan Pahang, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang serta Jabatan Pendakwaan Syariah Pahang atas penganugerahan Sijil Pengiktirafan Unggul Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) 2026.
Paduka Baginda menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai bukti komitmen berterusan agensi-agensi kerajaan negeri dalam memperkukuh tadbir urus, membudayakan integriti serta melaksanakan inisiatif pencegahan rasuah secara sistematik dan berkesan demi memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat.-PAHANGMEDIA
Sumber : kesultanan Pahang

