Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
MELAKA, 27 JULAI 2026 : Lebih 1.06 juta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di seluruh negara terus menjadi tunjang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, dengan mewakili hampir 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan di negara ini.
Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Kebangsaan (MPUPK) yang juga YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah tersebut membuktikan bahawa PMKS bukan sahaja menjadi pemacu ekonomi negara, malah berperanan mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, di Zon Selatan sahaja terdapat lebih 207,303 PMKS yang melibatkan 131,214 perusahaan di Johor, Negeri Sembilan (42,673) dan Melaka (33,416).
“Namun bagi saya, yang lebih penting bukan sekadar angka tersebut, tetapi manusia di sebalik setiap perusahaan. Kerana di sebalik sebuah perusahaan mikro, ada seorang usahawan yang berusaha mengubah kehidupan keluarganya.
“Di sebalik sebuah perusahaan kecil, ada pekerja yang bergantung kepada pendapatan untuk menyara keluarga. Manakala di sebalik sebuah perusahaan sederhana, ada cita-cita untuk berkembang menjadi syarikat yang mampu bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Sebab itu, pembangunan PMKS bukan sekadar soal ekonomi, tetapi juga soal peluang, mobiliti sosial dan masa depan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Turun Padang Penasihat Khas MPUPK dan Dialog Bersama Usahawan Bumiputera Zon Selatan di Ayer Keroh, hari ini.
Menurut beliau, pada tahun 2024, sektor PMKS menyumbang 39.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan nilai RM652.4 bilion, selain menyediakan pekerjaan kepada 8.1 juta rakyat serta menyumbang RM196.8 bilion kepada eksport negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru usahawan Bumiputera supaya terus memanfaatkan pendigitalan dan teknologi kecerdasan buatan (AI), di samping memperkukuh inovasi serta produktiviti bagi memastikan perusahaan tempatan kekal berdaya saing di peringkat serantau dan antarabangsa.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan akan terus memperkukuh ekosistem PMKS melalui penyediaan akses pembiayaan, geran, latihan, pembangunan kapasiti serta peluasan pasaran bagi memastikan sektor tersebut terus berkembang secara mampan.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan cek cura berjumlah RM1.605 juta kepada 21 penerima melibatkan Program Bumiputera Rapid Acceleration & Value Enhancement (BRAVE), Program Dana Pemangkin Penskalaan PKS dan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera Skala (TUBE-S). -PAHANGMEDIA

