Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 10 JULAI 2026 : Sokongan berterusan Kerajaan Negeri Pahang terhadap pembangunan luar bandar menjadi antara faktor utama Kampung Desa Murni Kerdau dinobatkan sebagai Johan Anugerah Aspirasi Desa MADANI 2025.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Desa Murni Kerdau, Encik Mohamad Fazrul Ahmad, prasarana di kampung berkenaan kini telah mencapai kira-kira 98 peratus, sekali gus menyediakan pelbagai kemudahan yang memberi manfaat dan peluang menjana ekonomi kepada penduduk setempat.

“Boleh dikatakan prasarana di Desa Murni Kerdau ini hampir lengkap. Kita mempunyai stesen minyak yang dilengkapi mesin ATM, selain pasar malam yang menempatkan gerai JPKK sebagai salah satu sumber penjanaan ekonomi penduduk,” katanya ketika ditemu bual di Kampung Desa Murni Kerdau, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pembangunan kampung itu turut memberi perhatian kepada golongan belia menerusi penyediaan peluang pekerjaan dan keusahawanan yang diusahakan sendiri oleh anak tempatan.

“Kita mempunyai bengkel kereta dan bengkel motosikal yang diusahakan oleh anak-anak muda kampung dimana mereka bukan sahaja mengendalikan perniagaan sendiri, malah turut menggaji tenaga kerja dalam kalangan penduduk kampung
“Secara tidak langsung, ia membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia,” katanya.
Mengulas mengenai kejayaan merangkul Johan Anugerah Aspirasi Desa MADANI 2025, beliau berkata, pengiktirafan itu lahir daripada semangat kesepakatan seluruh warga kampung serta sokongan padu pelbagai pihak.

“Kejayaan ini adalah hasil kesepakatan dan kebersamaan seluruh warga Desa Murni. Pada masa sama, kami mempunyai hubungan yang sangat baik dengan rakan-rakan strategik daripada pelbagai agensi dan jabatan
“Malah, Menteri Besar Pahang juga sentiasa memberikan sokongan yang amat baik kepada kami dan itulah antara kunci utama yang membawa Desa Murni Kerdau muncul sebagai Johan Anugerah Aspirasi Desa MADANI 2025,” katanya.
Pelbagai industri desa turut berkembang maju di Desa Murni Kerdau, termasuk pelaksanaan kelas jahitan dan kelas memasak untuk komuniti wanita di bawah Program Komuniti e-READ Pusat Sumber Desa Murni.

Kampung itu juga mempunyai pengusaha cendawan, pengusaha tempa parang dan pengusaha kraftangan yang aktif menjana ekonomi setempat. Malah, restoran terkenal di Temerloh iaitu Saiful Patin Gulai Masam turut diusahakan oleh anak jati Kampung Desa Murni, sekali gus membuktikan potensi besar komuniti desa dalam melahirkan usahawan tempatan yang berjaya.
Kampung Desa Murni Kerdau telah dianugerahkan Johan Anugerah Aspirasi Desa MADANI 2025 pada Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia (HPLBS) 2026 dan Anugerah Aspirasi Desa MADANI Tahun 2025 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, pada Isnin lepas.
Kemenangan tersebut membolehkan Desa Murni Kerdau membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, selain turut menerima Anugerah Khas Pengurusan Mampan bernilai RM30,000 dan Anugerah Khas Aspirasi Profiling Komuniti Desa bernilai RM20,000. -PAHANGMEDIA

