Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 09 JULAI 2026 : Kejayaan Koperasi FELDA Chemomoi Berhad menerima Anugerah Koperasi Terbaik Rancangan FELDA 2026 membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkukuh pembangunan sektor koperasi di negeri ini.
Menurut Pengerusi Koperasi FELDA Chemomoi Berhad, Tuan Haji Jaffar Md Katas, kejayaan yang diraih merupakan hasil sokongan padu daripada pelbagai pihak, khususnya Kerajaan Negeri Pahang yang sentiasa komited memperkasa gerakan koperasi di negeri ini.
“Saya ucapkan terima kasih terutama kepada Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, begitu juga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang bertungkus-lumus membantu Koperasi FELDA Chemomoi ini.

“Saya berasa bersyukur, Alhamdulillah. Bagi pihak semua, kami amat gembira. Di atas sokongan daripada semua pihak, begitu juga Kerajaan Negeri Pahang yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada pihak kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam wawancara khas di Koperasi FELDA Chemomoi Berhad, hari ini.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Pahang bukan sahaja memberikan bantuan kewangan, malah sentiasa membimbing koperasi melalui pelbagai program pembangunan dan latihan yang menyumbang kepada peningkatan prestasi Koperasi FELDA Chemomoi Berhad.
“Kerajaan Negeri Pahang memang sentiasa membantu terutama sekali dalam segi memberi idea dan bantuan. Ada program dan seminar yang dianjurkan, mereka akan panggil dan kita juga menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri Pahang.

“Saya rasa sudah tiga tahun berturut-turut mereka memberikan bantuan kepada Koperasi FELDA Chemomoi. Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail atas kepimpinan beliau dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Pada saya, beliau memang memandang berat kepada Koperasi FELDA Chemomoi ini. Insya-Allah, kita akan laksanakan dengan lebih baik,” katanya.
Ditubuhkan pada tahun 1976, Koperasi FELDA Chemomoi Berhad kini menghampiri usia lima dekad dan telah berkembang daripada hanya menjalankan aktiviti pengangkutan kepada pelbagai sektor perniagaan termasuk pengurusan ladang, pembelian buah tandan segar (BTS), stesen minyak serta kedai runcit.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa kedai runcit koperasi tersebut mencatatkan kejayaan membanggakan apabila merekodkan jualan hampir RM60,000 menerusi Program Jualan MADANI, sekali gus antara pencapaian terbaik di negeri ini.
Di samping itu, pihaknya dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang melalui kerjasama bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan terus memperkukuh pembangunan koperasi menerusi pelaksanaan program khas melibatkan koperasi kluster besar di negeri ini.
“Saya dimaklumkan oleh Pengarah SKM sendiri termasuk YB. Dato’ Amizar Abu Adam mengenai hasrat YAB. Menteri Besar Pahang bahawa beliau akan memanggil Koperasi Kluster Besar ini untuk diadakan satu program di Kuantan bagi memajukan lagi koperasi ini.
“Saya amat bangga apabila kami terpilih untuk berada dalam golongan ini (Koperasi Kluster Besar),” katanya. -PAHANGMEDIA

