Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 6 JULAI 2026: Dua murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Air Putih mengharumkan nama Negeri Pahang dan Malaysia apabila mewakili negara ke pertandingan bertaraf antarabangsa, Pilot-X Competition 2026, yang akan berlangsung di Hong Kong, China dari 14 hingga 17 Julai ini.
Dua murid tersebut ialah Hani Safia Mohd Najib, 11, dan Mohamad Iftikhaar Mohammad Shukri, 12, yang akan beraksi dalam pertandingan bertaraf antarabangsa berkenaan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, penyertaan dua pelajar tersebut ke pertandingan itu merupakan satu pencapaian yang membanggakan bukan sahaja buat sekolah, malah negeri dan negara.
“Penyertaan ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan buat sekolah, Negeri Pahang dan negara.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa anak-anak Pahang mempunyai potensi besar untuk cemerlang dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa dengan bimbingan guru-guru serta sokongan padu daripada ibu bapa.
“Terima kasih kepada semua guru dan ibu bapa yang sentiasa komited dalam membimbing serta memberi dorongan kepada anak-anak,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mendoakan agar mereka diberikan kelancaran sepanjang pertandingan serta beroleh kejayaan dalam pertandingan tersebut.
“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada seluruh warga SK Air Putih. Saya mendoakan agar kontinjen SK Air Putih diberikan kelancaran sepanjang pertandingan dan berjaya membawa pulang kejayaan sekali gus mengharumkan nama Negeri Pahang dan Malaysia,” katanya. -PAHANGMEDIA

