Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 4 JULAI 2026: Festival Layang-Layang Antarabangsa Kuantan Angin dan Ombak Laut Cherating (KITE 4.0) mencatat kejayaan yang membanggakan apabila telah berjaya menghimpunkan penyertaan sebanyak 17 buah negara.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man, penganjuran kali ini menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan penyertaan dan kehadiran pengunjung setiap tahun.

“Penganjuran pada kali ini, kita nampak memang ada kesan positif dan setiap tahun kita nampak ada peningkatan. Setakat ini kita dah melebihi 7,700 buah kenderaan kereta, van, motorsikal dan kendaraan lain. Kalau kita membuat anggaran memang dah jauh melebihi sasaran kita.
“Tahun ini kita mencatatkan rekod sebanyak 17 buah negara dan lapan negeri yang mengambil bahagian dengan jumlah 100 orang berbanding dengan tahun pertama pada tahun 2023 danctelah menunjukkan peningkatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Festival Layang-Layang Antarabangsa Kuantan Angin dan Ombak Laut Cherating (KITE 4.0) di Pantai Cherating, hari ini.
Tambahnya, pemindahan lokasi penganjuran ke Pantai Cherating merupakan input Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) untuk menilai keperluan pembangunan infrastruktur bagi menyokong penganjuran acara berskala besar pada masa hadapan.

“Salah satu tujuan festival ini dialihkan ke Pantai Cherating ini adalah menjadi input untuk kajian Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) untuk mengkaji tentang pelaksanaan projek menaik taraf infrastruktur di Cherating ini.
“Antaranya melebarkan kawasan parking, mendirikan kawasan dataran untuk memudahkan penganjuran acara dan juga kemudahan yang lain sebagai contoh glamping. Jadi syabas kepada MBK kerana berjaya mendapatkan peruntukan Rancangan Malaysia K-13 (RMK) sebanyak RM15 juta untuk menaik taraf infrastruktur di sini.
“Pada masa yang sama, Cherating berada disempadan Terengganu, jadi kita boleh meluaskan pencapaian dimana pengunjung luar negeri sampai ke Pahang untuk mengambil bahagian dalam festival ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan penganjuran program pelancongan di Cherating bagi merancakkan semula industri pelancongan dikawasan tersebut serta membantu meningkatkan ekonomi kepada komuniti setempat.
“Jadi untuk masa akan datang, kita memang mengalu-alukan penganjuran acara pelancongan yang lain di Chersting supaya kita dapat menghidupkannya semula.
“Bukan itu sahaja, ianya juga dapat membantu pengusaha tempatan khususnya chalet dan peniaga-peniaga kecil tempatan,” katanya. -PAHANGMEDIA

