Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 4 JULAI 2026: Anak Pahang terus membuktikan keupayaan apabila memilih untuk kembali menyumbang kepada negeri sendiri menerusi pembukaan TODAK Academy Hab Pahang, hab pendidikan kreatif digital dan TVET pertama TODAK di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelabur berkualiti tanpa mengira saiz syarikat, khususnya yang diterajui anak tempatan.

“Saya difahamkan barisan kepimpinan TODAK kebanyakannya berasal dari Pahang dan Ketua Pegawai Eksekutifnya juga merupakan anak jati Kuantan, selain ada dalam kalangan mereka yang pernah menuntut di MRSM Kuantan.
“Terima kasih kerana terus mengingati negeri kelahiran dan memilih untuk membuka perniagaan serta melabur di Pahang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian TODAK Academy Hab Pahang di IM8, di sini hari ini.

Beliau berkata, pembukaan pusat latihan berkenaan selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pendidikan digital.
“Inisiatif ini mampu melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang berupaya memperoleh peluang pekerjaan dengan pendapatan melebihi RM3,000 sebulan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Todak Academy, Mohamad Taufik Rizal Aminuddin berkata, penubuhan hab berkenaan mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh pembangunan modal insan digital di Malaysia.
“Hab ini membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk menguasai kemahiran seperti kecerdasan buatan, pengaturcaraan, robotik dan pembangunan permainan digital.
“Kami yakin kerjasama erat antara kerajaan, institusi pendidikan dan industri mampu mempercepat pembangunan ekosistem digital serta menarik lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi ke negeri ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

