Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 2 JULAI 2026: Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar jumlah balai bomba di negeri ini ditambah pada masa akan datang bagi memperkukuh keupayaan tindak balas kecemasan serta memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih pantas kepada rakyat.
Baginda bertitah, penambahan balai bomba amat penting memandangkan terdapat kawasan-kawasan pedalaman dan berjarak jauh yang memerlukan liputan perkhidmatan kecemasan yang lebih efisien.

“Hari ini sahaja balai bomba ini adalah balai bomba yang ke-29, saya harap 29 lagi yang baru akan dibina di Pahang. Tadi telah disebut beberapa balai bomba seperti di Gohtong Jaya, di Tioman, Benta, Tanjung Lumpur.
“Satu lagi kalau saya boleh tambah, mungkin tidak disebut tadi, satu lagi yang boleh diwujudkan bomba sukarela di Kampung Bantal kerana Kampung Bantal adalah satu kampung yang terlalu jauh ke dalam dan sukar untuk mendapat khidmat bomba. Dan Kampung Bantal adalah kampung diraja yang cukup dekat di hati saya,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut berkongsi kenangan berkenaan insiden kebakaran di Sekolah Menengah Al-Attas, Pekan pada awal 1980-an yang mengorbankan seorang pelajar, yang sehingga kini masih segar dalam ingatan baginda.

Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan pasukan bomba di seluruh negara dan negeri ini yang sentiasa berada di barisan hadapan ketika berlaku musibah.
“Saya sentiasa bersama bomba apabila kebakaran berlaku, sebelum atau selepas. Saya amat berterima kasih, dan setiap pagi apabila saya membuka telefon, pasti ada berita berkaitan bomba yang bertungkus-lumus membantu mereka yang dalam kesusahan.
“Selagi ada kemampuan, saya akan terus turun padang bersama pihak bomba di negeri Pahang,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Lembing di sini hari ini.
Turut hadir YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu; Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, YB Dato’ Indera Shahar Abdullah; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, YAS Dato’ Sri Ts. Nor Hisham Mohammad; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang, Dato’ Mohd Razam Taja Rahim serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan. – PAHANGMEDIA

