Oleh: Ummul Qistina Sofea
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 1 JULAI 2026 : Kerajaan Pahang terus komited dalam menyokong usaha memperkasakan pendidikan anak-anak Orang Asli selaras dengan keperluan dunia yang semakin dipacu teknologi.
Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Orang Asli Corporation (ORACO), YH. Dato’ Muhammad Olian Abdullah berkata, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk sumbangan 40 buah komputer riba sebagai usaha memperkasa akses pendidikan digital dalam kalangan pelajar Orang Asli di negeri ini.
“Pertamanya, nak mertabatkan pendidikan pelajar orang asli itu, kita akan sentiasa memberikan sokongan. Macam yang saya sebutkan tadi, di dalam dunia hari ini dan masa depan negara kita akan bergantung kepada pengetahuan khususnya ICT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Belia dan Orang Asli Negeri Pahang di Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP), hari ini.
Tambahnya, perkembangan teknologi semasa seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Things (IoT) menjadikan penguasaan ilmu digital amat penting bagi memastikan pelajar Orang Asli mampu bersaing pada masa hadapan.
“Di dunia hari ini dan masa depan, kita akan bergantung kepada pengetahuan khususnya Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Hari ini kita bercakap tentang Artificial Intelligence dan Internet of Things yang akan mempengaruhi kehidupan manusia.
“Jadi, kalau orang asli tidak bersedia dan kita tak dedahkan dia orang dengan ilmu-ilmu yang sebegitu, sudah pasti dia akan tertinggal,” katanya.
Katanya, Kerajaan Negeri Pahang turut komited membekalkan kemudahan pendidikan digital kepada komuniti Orang Asli, termasuk transformasi dua buah sekolah di kawasan penempatan Orang Asli menjadi sekolah digital melalui kerjasama ARACO.
“Melalui ARACO, kita telah berjaya mentransformasikan dua buah sekolah di perkampungan Orang Asli iaitu Sekolah Kebangsaan Lanai di Lipis dan Sekolah Kebangsaan Bukit Rok di Bera untuk menjadi sekolah digital dengan kemudahan smart board di setiap bilik darjah,” katanya.
Di samping itu, beliau berharap usaha berterusan ini akan memberi impak besar dalam meningkatkan taraf pendidikan serta membuka lebih banyak peluang masa depan kepada pelajar Orang Asli di negeri Pahang,” -PAHANGMEDIA

