Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 26 JUN 2026 : Tindakan spontan seorang penuntut universiti mengiringi ambulans bagi memudahkan laluan dalam kesesakan lalu lintas sehingga ke hospital mendapat pujian ramai selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Seni Visual, Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP), Encik Nurhan Syafiy Tuan Nur Azham Shah, 23, berkata, dia sama sekali tidak menyangka tindakannya pada awal Jun lalu itu dirakam dan dikongsikan oleh petugas dalam ambulans.
Katanya, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Gambang menuju ke kampus UCYP selepas menghadiri bengkel pengendalian Android.
“Saya melalui Jalan Batu 11 berhampiran Gambang dan ketika itu jalan memang sesak. Pada mulanya saya sendiri hanya mahu pulang dan singgah mengisi minyak kerana tangki motosikal sudah hampir kosong.
“Bagaimanapun, saya nampak ambulans tersekat dalam kesesakan. Saya sendiri yang menunggang motosikal pun sukar untuk menyelit, apatah lagi ambulans yang membawa pesakit. Ketika itu terdetik dalam hati supaya membantu memudahkan laluan ambulans walaupun saya sendiri belum sempat mengisi minyak,” katanya ketika dihubungi.
Video kejadian itu dikongsikan oleh pengguna Threads, Muhd. Fazreen Ismadi yang merakamkan ucapan penghargaan kepada Encik Nurhan Syafiy ang juga merupakan seorang ahli Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Paya Besar, atas keprihatinannya membantu ambulans.
Bercerita lanjut, dia kemudian mengiringi ambulans berkenaan dengan meninjau keadaan jalan di hadapan sebelum memberi isyarat kepada pengguna jalan raya supaya membuka laluan.
“Keadaan agak mencabar kerana terdapat kerja-kerja pembinaan jalan yang menyebabkan laluan menjadi satu lorong. Selain itu, ada juga pemandu yang tidak memberi kerjasama dan tidak menyedari kehadiran ambulans.
“Selepas selesai mengiringi ambulans, saya terus pulang ke asrama. Esok barulah saya keluar mengisi minyak. Syukur baki minyak masih mencukupi untuk sampai ke stesen minyak,” tambahnya.
Difahamkan, ambulans berkenaan membawa seorang kanak-kanak Orang Asli berusia tiga tahun dari Klinik Kesihatan Chini untuk mendapatkan rawatan di hospital.
Mengulas mengenai tindakannya yang tular, anak kedua daripada tiga beradik yang berasal dari Indera Mahkota itu berkata, dia hanya membantu dengan niat yang ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan.
Anak kepada seorang jururawat dan anggota bomba itu berharap kejadian berkenaan dapat membuka mata masyarakat supaya lebih peka apabila terdengar siren kenderaan kecemasan.
“Saya berharap pihak berkaitan dapat memastikan siren ambulans sentiasa berada dalam keadaan baik kerana ada ketika bunyinya kurang jelas dan hanya boleh didengari oleh beberapa buah kenderaan yang berada berhampiran.
“Saya juga harap lebih ramai rakyat Malaysia mempunyai sikap saling membantu kerana dalam situasi kecemasan, setiap saat amat berharga dan boleh menentukan nyawa seseorang,” ujarnya lagi.-PAHANGMEDIA

