Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 27 JUN 2026 : Usaha membantu bekas penagih dadah kembali menjalani kehidupan normal tidak boleh dilaksanakan secara bermusim atau bersifat ‘one-off’, sebaliknya memerlukan tindakan susulan yang berterusan melibatkan pelbagai agensi.
Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Negeri Pahang, YH Dato’ Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, tiga fokus utama yang perlu diberi perhatian dalam memastikan kejayaan proses kepulihan ialah menghapuskan stigma masyarakat terhadap klien, meningkatkan kemahiran diri serta memperkukuh peranan institusi keluarga sebagai pusat rawatan pertama.
Katanya, pihak JKPD juga akan memastikan isu berkaitan kebajikan dan kepulihan klien mendapat perhatian sewajarnya.
“Kita tidak mahu program ini berakhir di sini sahaja. Perlu ada tindakan susulan supaya semua usaha yang dirancang benar-benar memberi manfaat kepada klien.

“Kita juga mahu menghapuskan stigma masyarakat kerana mereka yang sedang menjalani proses kepulihan memerlukan sokongan untuk membina semula kehidupan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Bengkel Sinergi Kepulihan AADK Daerah Kuantan di Annexe Resort, di sini hari ini.
Hadir sama, Penolong Pengarah Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK Negeri Pahang, Encik Mohd. Khairul Anuar Othman.
Program selama dua hari satu malam itu disertai 30 klien AADK Daerah Kuantan menerusi peruntukan Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Pahang.
“Terima kasih kepada YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail kerana meluluskan peruntukan bagi menjayakan program sebegini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga berkata, akan datang beliau merangka untuk melibatkan pelbagai agensi lain seperti GIATMARA dan TEKUN Nasional bagi membantu klien memperoleh kemahiran dan peluang ekonomi agar mereka dapat membina kehidupan baharu sekali gus mengelakkan risiko relaps.
“Setiap agensi mempunyai peranan masing-masing. Apabila kita bergerak secara bersama, insyaAllah lebih banyak kelebihan dapat diberikan kepada klien dan mereka tidak akan berasa dipinggirkan,” ujarnya.
Katanya, pihaknya juga akan menubuhkan kumpulan komunikasi menerusi aplikasi WhatsApp bagi memudahkan penyelarasan bantuan dan pemantauan secara berterusan antara AADK dan JKPD.
Sementara itu, beliau memaklumkan JKPD Daerah Kuantan turut merangka untuk menganjurkan program kesedaran antidadah di lima buah sekolah terpilih di daerah Kuantan termasuk di kawasan Felda sebagai langkah awal membendung penyalahgunaan dadah.
Katanya lagi, pendekatan pendidikan awal itu penting bagi meningkatkan kefahaman pelajar mengenai bahaya dadah yang kini datang dalam pelbagai bentuk. -PAHANGMEDIA

