Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
JERANTUT, 26 JUN 2026 : Generasi baharu FELDA meluahkan rasa syukur dan terharu apabila penantian mereka untuk memiliki tanah sendiri akhirnya menjadi kenyataan melalui Skim Tanah Rakyat (STR) Generasi Baharu FELDA.
Encik Mazri Abdul Jalil, 55, melahirkan rasa gembira selepas menerima surat hak milik tanah, sekali gus mampu merealisasikan impiannya untuk memiliki kediaman sendiri.

“Perasaan saya sangat gembira sebab selama ini sudah lama menanti. Generasi kedua ini telah lama memohon tanah untuk membina rumah.
“Bila kita dapat tanah ini, kita boleh bina rumah sendiri. Sebelum ini kami menumpang di rumah keluarga, kini apabila sudah ada hak milik sendiri, bolehlah membina rumah.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana memberi peluang kepada generasi kedua FELDA untuk memiliki tanah dan membolehkan kami membina rumah sendiri,” katanya.
Sementara itu, Encik Muhammad Hamdan Ab Ghani, 49, turut meluahkan rasa terharu dan bersyukur apabila terpilih sebagai penerima hak milik tanah selepas melalui proses permohonan selama tiga tahun.

“Perasaan saya sangat terharu kerana terpilih sebagai penerima. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail atas usaha dalam memastikan penyerahan ini dapat dilaksanakan.
“Proses permohonan ini mengambil masa tiga tahun dan Alhamdulillah, ia dipermudahkan serta dipercepatkan,” katanya.
Seramai 325 daripada keseluruhan 567 penerima telah menerima surat hak milik menerusi Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah Skim Tanah Rakyat (STR) Generasi Baharu FELDA yang berlangsung di Majlis Daerah Jerantut, hari ini. – PAHANGMEDIA

