Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Farizul Hafiz Awang
JERANTUT, 26 JUN 2026 : Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan baki kira-kira 0.05 peratus penyerahan surat hak milik tanah kepada peneroka FELDA akan diselesaikan sepenuhnya pada tahun ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, kira-kira 42,000 peneroka telah menerima surat hak milk tanah, manakala bakinya akan diselesaikan pada tahun ini.

“Kira-kira 42,000 telah pun mendapat surat tanah hakmilik yang lain-lain itu kita akan cuba selesaikan pada tahun ini juga. Jadi ini adalah komitmen Kerajaan Negeri Pahang yang sentiasa berusaha untuk menunaikan hak peneroka
“InsyaAllah Kota Gelanggi 3 akan kita serahkan dalam masa terdekat begitu juga kepada peneroka FELDA yang sekarang ini tinggal 0.05 peratus lagi. Pemberian surat tanah hakmilik ini kita tidak dapat bagi secara serentak, tetapi kita akan bagi secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Suratan Hakmilik Skim Tanah Rakyat (STR) Generasi Baharu FELDA Kota Gelanggi 1,2 dan 4 Mukim Pulau Tawar di Dewan Majlis Daerah Jerantut, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Datoโ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa berusaha untuk mempertimbangkan dan menunaikan setiap permohonan rakyat, namun pada masa yang sama tetap mengutamakan kepentingan awam.

“Kerajaan Negeri Pahang ini kalau sekiranya boleh tunaikan permohonan rakyat kita akan tunaikan, ada juga perkara tidak dapat ditunaikan atas sebab tertentu.
“Sebagai contoh, sekiranya ada permohonan tanah dan dimaklumkan di tanah tersebut akan dibangunkan sekolah, kem askar ataupun hospital dan klinik kesihatan jadi perkata tersebut kerajaan negeri tidak dapat mempertimbangkan. Hal ini kerana kita mementingkan kepentingan awam,” katanya.
Di samping itu, beliau mengharapkan agar para pemohon dapat memahami keadaan tersebut dan tidak membuat sebarang tuduhan melulu terhadap kerajaan.
“Dalam keadaan seperti ini, saya harap pemohon dapat memahami. Jadi, jangan marahkan Kerajaan ataupun buat tuduhan yang mengatakan Kerajaan tidak mengambil berat terhadap mereka sedangkan kita tetap memgambil berat tetapi sebab ada kekangan yang lebih penting yang kita kena utamakan.
“Sebagai Kerajaan ada masa kita tidak dapat menunaikan 100 peratus kehendak rakyat, ada masa kita kena selesaikan secara berperingkat yang pentingnya rakyat perlu bersabar,” katanya. -PAHANGMEDIA

