Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 23 JUN 2026 : Kegiatan penyimpanan gas petroleum cecair (LPG) secara haram yang dipercayai beroperasi di sebuah kawasan berpagar di Bentong terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang menerusi Ops Tiris 4.0 Bersepadu semalam.
Dalam operasi hasil risikan selama dua minggu itu, pasukan penguat kuasa KPDN berjaya menemukan sebanyak 829 tong LPG pelbagai kapasiti yang disimpan di dalam sebuah motolori semi trailer tanpa lesen atau kebenaran sah daripada Pengawal Bekalan.
Pengarah KPDN Pahang, Puan Jezlily Jamaluddin berkata, serbuan dilakukan susulan maklumat awam dan risikan yang membawa kepada sebuah lokasi yang dipercayai dijadikan stor simpanan LPG.
“Pemeriksaan mendapati sejumlah besar LPG disimpan di lokasi berkenaan. Siasatan awal mendapati premis tersebut tidak mempunyai lesen atau kebenaran yang sah untuk menyimpan barang kawalan berjadual sebagaimana ditetapkan di bawah undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihaknya telah menyita kesemua LPG terbabit bersama tong LPG, dokumen berkaitan, sebuah motolori dan semi trailer serta beberapa barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
“Jumlah keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM405,338,” ujarnya.
Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki menyimpan barang kawalan berjadual di premis yang tidak dilesenkan atau tanpa kebenaran sah daripada Pengawal Bekalan.
Jelasnya, mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan akta berkenaan boleh dikenakan tindakan tegas termasuk denda sehingga RM2 juta bagi pertubuhan perbadanan dan RM1 juta atau penjara sehingga dua tahun bagi individu.
“Bagi kesalahan berulang, kadar hukuman adalah lebih berat dengan denda sehingga RM5 juta bagi syarikat dan RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun bagi individu,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak terlibat dalam aktiviti penyimpanan, pengedaran atau urus niaga barang kawalan berjadual yang menyalahi undang-undang.
“KPDN Pahang akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan bekalan barang kawalan di negeri ini sentiasa terpelihara dan tidak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” tambahnya. -PAHANGMEDIA

