Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 22 JUN 2026 : Kerajaan Negeri akan memastikan kemudahan pengangkutan awam dan perkhidmatan sambungan di kesemua tujuh stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pahang berada pada tahap kesiapsiagaan optimum menjelang permulaan operasi projek itu pada Januari tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, aspek kesalinghubungan antara stesen ECRL dengan kawasan bandar, terminal pengangkutan dan pusat tumpuan awam diberi perhatian bagi memastikan orang ramai dapat menggunakan perkhidmatan rel tersebut dengan mudah.

Katanya, Kerajaan Negeri bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang meneliti keperluan pengangkutan sambungan termasuk perkhidmatan bas, e-hailing dan teksi bagi memastikan pengguna dapat bergerak dengan lancar dari stesen ECRL ke destinasi masing-masing.
“Kita akan lihat dari segi itu, kesediaan sambungan pengangkutan daripada stesen ke kawasan bandar berhampiran atau ke Terminal Kuantan Sentral.
“Jadi saya harap dapat kerjasama dari APAD untuk memudahkan urusan pengangkutan sambugan sebab kita tak nak nanti kita dah operasi, tapi orang tidak boleh datang kerana tidak ada transport.
“Termasuklah bas, kalau di sini kita ada Bas.my dan kita juga ada mesyuarat sebelum ini dengan semua operator-operator seperti ehailing, teksi dan sebagainya dan kita nak pastikan kesemua tujuh stesen kita di Pahang bersedia untuk menyediakan perkhidmatan bila mana bermulanya operasi ECRL ini,” katanya selepas mengadakan lawatan ke stesen ECRL Cerating, Kuantan Port dan KotaSAS, di sini hari ini.

Lawatan berkenaan turut disertai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Puan Masita Mat Isa.
YB. Dato’ Ir Razali dalam pada itu berkata, antara tujuan utama lawatan kerja berkenaan adalah bagi melihat perkembangan kerja yang dilakukan di tiga stesen berkenaan kini berada pada tahap sekitar 96 peratus.
“Daripada lawatan ini, kita dapati semua kerja-kerja berjalan mengikut jadual dan dijangka siap pada penghujung Ogos dan di mana bermula September dah start, kita buat latihan fault free run bagi memastikan integrasi dan kesalinghubungan (interconnectivity) antara satu stesen ke satu stesen,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Kanan dan Pengurus Projek Seksyen 6 ECRL, Encik Mohd. Nor Nahar Abd. Hadi berkata, kerja-kerja pembinaan stesen kini berada pada peringkat akhir dengan baki kerja tertumpu kepada aspek landskap dan kemasan bangunan. -PAHANGMEDIA

