RAUB, 22 JUN 2026 : Seorang pekebun durian haram didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menduduki tanah kerajaan negeri tanpa kebenaran di Sungai Pertang, Mukim Gali, kira-kira dua tahun lalu.
Hakim Puan Noor Zaihan Mohamad Ali turut memerintahkan tertuduh, Yong Lai Kien, 48, dipenjara selama lapan bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Mengikut fakta kes, kesalahan itu dikesan susulan pelaksanaan Ops Sekat Musang King oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 9 Ogos 2024 dan hasil pemeriksaan di kawasan berkenaan mendapati tertuduh telah menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri.
Serbuan di Sungai Pertang, Mukim Gali itu turut menemukan sebuah rumah kebun serta kawasan tanaman pokok durian yang diusahakan di atas tanah tersebut.
Hasil siasatan lanjut mendapati tertuduh menggunakan tanah berkenaan tanpa mendapatkan kelulusan sah sebelum tindakan pendakwaan diambil.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa UPNP, Muhammad Muqris Alif Zairiasdi dan Nurul Ain Wozzari, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Harris Mohan.
Dalam prosiding, pihak pendakwaan memohon hukuman yang setimpal dikenakan dengan menegaskan bahawa perbuatan pencerobohan tanah kerajaan bukan sahaja menyebabkan kerosakan kepada struktur tanah, malah mengakibatkan ketirisan hasil negeri daripada kutipan hasil tanah dan permit.
Pendakwaan turut menegaskan bahawa hukuman berat yang diperuntukkan mencerminkan keseriusan kerajaan dalam menangani isu pencerobohan tanah. – PAHANGMEDIA

