Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Shahrizar Adzhar
BERA, 18 JUN 2026 : Program Ziarah Makmur sempena Program Sentuhan Rakyat Makmur (PSRM) Daerah Bera bukan sahaja menyantuni golongan memerlukan, malah membuka mata penerima terhadap pelbagai saluran bantuan yang disediakan Kerajaan Negeri.
Program berkenaan diketuai oleh YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar yang turut menziarahi empat buah rumah penerima bantuan di Felda Tementi terdiri dari golongan emas dan orang kelainan upaya (OKU) serta sebuah projek di bawah Program Sejahtera Komuniti Madani, Projek Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sate Frozen Legasi Wak Sate.

Turut bersama, Pegawai Daerah Bera, YH. Dato’ Ahmad Nasim Dato’ Haji Mohd Sidek; Pengarah Unit Perancangan Operasi dan Strategik, Pejabat Menteri Besar Pahang, YH. Dato’ Wan Salman Wan Ismail serta ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri.
Bagi Puan Suzana Abdul Rahman, 45, kunjungan tersebut memberi pendedahan kepada keluarganya mengenai pelbagai bentuk bantuan yang boleh dimanfaatkan bagi menjaga anak saudaranya, Airel Aizat Azizan, 19, yang merupakan seorang OKU.
Katanya, Airel mengalami kecederaan otak (brain injury), ‘post stroke’ dan sawan akibat kemalangan jalan raya yang menimpa keluarganya pada tahun 2016.

“Dia sakit sejak 2016. Kemalangan satu keluarga, lima beranak, seorang meninggal. Opah (nenek) dia meninggal. Lepas eksiden itu, kesihatan mak dia merosot. 2018, mak dia meninggal.
“Pada 2021, abang dia meninggal eksiden langgar lembu. Tinggal lah dia seorang. Ayah dia, 2011, meninggal akibat Pneumonia.
“Pandangan saya (program) banyak manfaatlah. Daripada yang kita tak tahu, kita boleh tahu banyak lagi saluran, bantuan yang kita tak tahu sebelum ini. Ia memudahkan urusan Airel, untuk masa depan lah,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Puan Nor Azizah Norsin, 57, yang menjaga ibunya, Puan Norakmar Shahbudin, 85, berkata program seperti itu membantu masyarakat mendapatkan maklumat yang tepat berkaitan bantuan dan perkhidmatan yang disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan.
Tambahnya, ibunya yang menghidap sakit buah pinggang serta mengalami kemerosotan penglihatan dan masalah tulang belakang akibat faktor usia sebelum ini tidak mengetahui saluran yang boleh dirujuk untuk mendapatkan bantuan.
“Buka mata lah. Macam sebelum ini, memang tak ada siapa pun datang tanya atau apa, memang tak ada. Jadi bila dia datang itu, kita orang pun seronok juga. Maknanya kita boleh tahu apa saluran yang kita nak minta tolong.
“Sebelum ini, macam masa mak jatuh, nak cari katil (khas) semua… kita pun tercari-carilah ke mana nak pergi. Kalau macam ini, bila sudah diberitahu bagaimana, kita pun sudah tahulah hendak pergi ke mana, boleh cari siapa yang kita perlukan,” ujarnya.-PAHANGMEDIA

