Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 18 JUN 2026 : Kerajaan Negeri Pahang menggesa pihak FGV Holdings Berhad (FGV) menyelesaikan segera isu premium tanah berjumlah RM72 juta.
Menurut satu kenyataan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, isu ini perlu diberikan keutamaan oleh FGV bagi pembangunan dan kesejahteraan rakyat Pahang.
“Kerajaan Negeri Pahang memandang serius isu premium tanah berjumlah RM72 juta yang masih belum diselesaikan oleh pihak FGV Holdings Berhad (FGV).
“Jumlah tersebut merupakan hasil yang menjadi hak Kerajaan Negeri dan perlu diberi perhatian serta tindakan segera oleh semua pihak yang terlibat.
“Penyelesaian isu ini tidak wajar terus tertangguh memandangkan ia melibatkan kepentingan negeri, urus tadbir tanah serta hasil yang boleh dimanfaatkan bagi pembangunan dan kesejahteraan rakyat Pahang,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri berharap agar pihak FGV memberikan komitmen penuh dan bertanggungjawab untuk menyelesaikan perkara ini.
“Saya menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pahang mengharapkan komitmen penuh daripada pihak FGV untuk menyelesaikan perkara ini secara tuntas dan bertanggungjawab.
“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa mengamalkan pendekatan profesional dan terbuka dalam setiap urusan melibatkan agensi serta syarikat berkaitan.
“Namun demikian, isu premium tanah berjumlah RM72 juta ini perlu diberikan keutamaan dan diselesaikan dengan kadar segera demi memastikan hak serta kepentingan Negeri Pahang terus terpelihara,” katanya. -PAHANGMEDIA

