Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 18 JUN 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar masyarakat memperkukuh akhlak bagi membina negeri dan negara yang maju.
Al-Sultan Abdullah bertitah agar masyarakat dapat berpindah daripada sifat lalai kepada kesedaran, daripada maksiat kepada taubat, dan daripada keruntuhan akhlak kepada kemuliaan budi sempena Maal Hijrah ini.

“Kita mungkin semakin maju dari segi pembangunan namun kemajuan yang tidak dipandu oleh iman dan akhlak hanya akan melahirkan manusia yang cerdik akalnya tetapi tandus nuraninya.
“Hakikatnya keruntuhan akhlak tidak berlaku dalam sekelip mata. Ia bermula apabila dosa dianggap perkara biasa, apabila malu tidak lagi menjadi pakaian, apabila hiburan mengatasi didikan.
“Apabila ibu bapa terlalu sibuk mengejar kehidupan sehingga terlepas memimpin keluarga, dan apabila masyarakat lebih gemar menjadi penonton daripada tampil mencegah kemungkaran,” titah baginda.

Paduka Baginda dalam titah menyatakan berbagai peristiwa mengejutkan yang berlaku pada masa kini merupakan isyarat bahawa masyarakat kini berhadapan dengan krisis kemiskinan jiwa dan ketandusan nilai.
“Sesungguhnya kekuatan sesebuah bangsa bukan hanya terletak pada kemajuan ekonominya tetapi pada akhlak rakyatnya.
“Apabila akhlak runtuh, maka runtuhlah tiang yang menegakkan tamadun. Maka benarlah, jika rosak padi kerana bena, rosak bangsa kerana akhlaknya,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika bercemar duli menyempurnakan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448 Hijrah Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur di Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan. -PAHANGMEDIA

